Akta 750: Pusat perlu hormati Dun Kelantan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan disaran menghormati keputusan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan yang menolak Akta Laut (Akta 750) pada persidangan tahun lepas.

Anggota parlimen Bachok Ahmad Marzuk Shaary berkata pada 5 Nov 2015 persidangan Dun Kelantan menolak akta tersebut kerana tidak mendapat perkenan Raja-Raja Melayu sebelum dibentang ke parlimen.

Ini kerana katanya, Akta Wilayah Laut membabitkan kedaulatan negeri-negeri di Malaysia.

“Dun Kelantan menolak kerana kerajaan negeri dan Raja-Raja Melayu tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai akta tersebut.

“Tindakan parlimen itu dilihat sebagai usaha untuk merampas pengeluaran minyak dan gas yang terdapat di pelantar benua negeri Kelantan,” katanya membahas titah ucapan menjunjung kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di parlimen hari ini.

Persidangan Dun Kelantan melulus usul bagi menolak Akta 750 yang dilulus di parlimen sebelum ini. Usul berkenaan dibentang Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob kemudian dilulus dengan sokongan majoriti.

Pada 18 April 2012 kerajaan BN membentang Rang Undang-Undang Laut Wilayah Malaysia 2012. Kesan akta itu setiap negeri di Malaysia perlu menyerahkan pelantar benua kepada kerajaan Persekutuan.

Selain itu perairan wilayah setiap negeri hanya dihad 3 batu nautika.

Ahmad Marzuk juga berkata rang undang-undang berkenaan dilulus secara tergesa-gesa di parlimen tanpa dibincangkan secara mendalam biar pun ia melibatkan hak negeri.

“Akta itu menyebabkan hak perairan negeri dihadkan hanya 3 batu nautika. Ini cuba menafikan hak rakyat Kelantan.

“Lagi pun ia dianggap menyalahi Perkara 2 Perlembagaan kerana menyentuh hak negeri. Oleh itu saya meminta kerajaan menghormati keputusan dibuat Dun Kelantan.

“Kerajaan Kelantan dipilih hasil mandat diberi rakyat pada pilihan raya umum ke-13,” katanya.

Sebelum itu ucapan Marzuk cuba diganggu dua wakil PAN dengan meminta tidak perlu dibangkitkan isu mazhab di parlimen.

“Saya membangkitkan isu mazhab sebagai isu pertama dan ada lagi isu-isu lain yang akan disentuh,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/3/2016

Share on Myspace