Nasib pekerja dan kemerosotan ekonomi

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa para pekerja untuk menuntut hak yang berpatutan sekiranya diberhentikan (retrenchment exercise) oleh majikan mereka.

Hak ini dijamin di bawah Akta Pekerja 1955 dan Akta Perhubungan Industri 1967.

DPPM mahu supaya para majikan mengambil pelbagai pertimbangan terutamanya daripada aspek kebajikan pekerja tempatan sebelum tindakan ‘retrenchment’ dilakukan.

Gesaan ini dibuat ekoran daripada data yang didedahkan oleh Jabatan Tenaga Kerja yang melaporkan seramai 6,534 pekerja yang telah diberhentikan sepanjang tahun ini sahaja.

Malah, pada tahun lalu, sejumlah 38,499 pekerja telah diberhentikan yang kebanyakannya di peringkat profesional dan pentadbiran. Keadaan ini jelas menggambarkan senario ekonomi negara yang kurang memberangsangkan.

DPPM juga melahirkan kebimbangan terhadap nasib 1.61 juta penjawat awam (2016) yang juga akan terjejas sekiranya kerajaan terus mengambil langkah kewaspadaan mengoptimakan perbelanjaan. Jumlah ini menurun daripada 1.62 juta pada tahun 2013.

Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, DPPM turut akui peruntukan emolumen dan pencen mencakupi 40% (RM87 bilion) daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan mengurus.

DPPM akan merangka beberapa cadangan hasil daripada sorotan perkembangan ekonomi semasa khususnya dalam Suku Pertama 2016.

Ini adalah agenda daripada Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang telah dikemukakan pada tahun ini.

Dalam keadaan konflik kepimpinan negara yang berlaku, kita juga harus tampil untuk membantu menyelamatkan Malaysia berdasarkan tasawwur Islam yang lebih adil dan berkebajikan.

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 17/3/2016

Share on Myspace