Rakyat Sarawak tidak rasa janggal dengan PAS

ROY RASUL | .

PAS dikenali di Sarawak bukan kerana PRN Sarawak. Bahkan bukan sehari dua ia melekat di hati rakyat Sarawak. Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh ketika diwawancara mengakui rata-rata rakyat Sarawak tidak berasa janggal dengan PAS.

HARAKAH: Salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak yang menjadi harapan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak April nanti adalah Beting Maro. Bagaimana pandangan Dewan Muslimat PAS terhadap kerusi tersebut?

USTAZAH NURIDAH: Bila menyebut anak atau kerusi sulong ia bukan bermaksud PAS hanya berharap untuk menang di satu kerusi sahaja, termasuk kerusi Beting Maro. PAS sebenarnya mengharapkan lebih daripada itu. Mungkin dua, mungkin tiga. Insya-Allah kita akan berusaha ke arah kemenangan PAS di Bumi Kenyalang untuk PRN Sarawak nanti.

Antara Dun harapan PAS ialah Dun yang pernah PAS tandingi sebelum ini. Ini kerana masyarakat setempat telah pun mengenali PAS dan yang pastinya pengundi tidak berasa janggal dengan PAS. Mereka sudah berpengalaman bertemu dengan aktivis-aktivis PAS dan pernah mendengar dan mengenali parti PAS.

Bagaimana rakyat Sarawak boleh mendekati PAS?

Sebenarnya, jentera-jentera PAS daripada Sarawak sendiri dan negeri-negeri pembantu dari seluruh negara telah pun turun mendekati rakyat. Mereka bertemu untuk bermesra bersama rakyat di samping menyampaikan dasar dan hasrat PAS.

Setakat ini apa kesan kepada rakyat apabila PAS memasuki Sarawak?

Rakyat Sarawak sendiri boleh melihat kesan di kawasan-kawasan yang pernah PAS bertanding. Mereka dapati kerajaan BN mula bagi perhatian kepada pembangunan di tempat yang pernah ditandingi oleh PAS. Ini sesuatu yang mengembirakan mereka malah rakyat Sarawak mengalu-alukan keberadaan PAS di tempat mereka.

Apa tindakan PAS seterusnya?

PAS tetap bekerja berterusan dengan mendampingi masyarakat bahkan ia perlu dipergiatkan lagi. Kerja-kerja kebajikan untuk masyarakat di Sarawak amat perlu dipelopori oleh PAS.

Nampaknya banyak janji dibuat oleh BN tetapi masih banyak hanya janji tinggal janji. Jadi bolehkah rakyat Sarawak menaruh harapan kepada BN dalam PRN kali ini?

Ya memang betul. Kita lihat janji BN samalah sepertimana dibuat BN di tempat lain. Janji tinggal janji itulah yang kita lihat. Bumi Sarawak yang mempunyai pelbagai hasil bumi tidak mampu dijana oleh BN dengan baik dan efisyen. Maka kita tengok hasil bumi dan kekayaan Sarawak berlegar di tangan orang-orang yang mempunyai kuasa sahaja. Oleh sebab itu kita minta PRN kali ini rakyat Sarawak perlu memilih PAS bagi mengubah nasib mereka.

BANYAK LAGI LAPORAN MENGENAI PRN SARAWAK DALAM AKHBAR HARAKAN BIL 2131 EDISI JUMAAT DI PASARAN.

Share on Myspace