Jalan berliku pelaksanaan undang-undang Islam

IRFAN ES | .

APABILA bercakap tentang melaksana undang-undang Islam di Malaysia, ramai yang beranggapan ia boleh dijelmakan dalam sekelip mata. Ramai juga yang menentang secara total seolah ia boleh muncul secara tiba-tiba dan dikuatkuasakan serta-merta di seluruh pelosok negara.

Pelaksanaan peraturan Islam yang terdiri daripada hudud, qisas dan takzir sebenarnya merupakan perjalanan panjang dari dulu sehingga kini, melibatkan aspek perundangan serta teknikal yang amat rumit.

Perlembagaan Persekutuan

Perkembangan Islam di Tanah Melayu telah membuka ruang kepada pelaksanaan peraturan Islam sejak abad ke-15 lagi. Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Pahang 1596, Kedah 1605, Johor 1789 adalah antara bukti penerapan sistem Islam dalam pentadbiran kerajaan.

Penjajahan British membawa bersama undang-undang sivil berpandukan Common Law yang diamalkan di England. Akibatnya, undang-undang Islam dibataskan kepada urusan kekeluargaan, pusaka, wakaf dan kesalahan berkaitan agama sahaja.

Menjelang merdeka, Suruhanjaya Reid ditubuhkan untuk merangka Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan inilah yang masih diguna pakai sehingga sekarang.

Pembahagian kuasa pusat dan negeri

Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan menyenaraikan bidang kuasa kerajaan persekutuan (senarai I), kerajaan negeri (senarai II) dan bersama (senarai III).

Undang-undang dan tatacara sivil serta jenayah adalah berada dalam Senarai Persekutuan (senarai I), kecuali hal ehwal keluarga (kahwin, cerai dan sebagainya), nafkah dan pewarisan.

Dengan kata lain, undang-undang jenayah yang diluluskan oleh negeri, tidak boleh lebih dari sekadar hal ehwal keluarga, nafkah, pewarisan, khalwat, zina dan seumpamanya.

Jenayah berat seperti bunuh, rompak, mencuri dan lain-lain masih berada di bawah kuasa persekutuan, iaitu Mahkamah Sivil.

Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Parlimen untuk meluaskan kuasa perundangan negeri sehingga menyentuh Senarai Persekutuan, menjadikannya Senarai Bersama.

Mahkamah di Malaysia

Terdapat dua jenis mahkamah di Malaysia, iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Mahkamah Sivil adalah bidang kuasa persekutuan. Ia terdiri daripada mahkamah atasan iaitu Mahkamah Persekutuan (mahkamah tertinggi di Malaysia), Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi; dan mahkamah bawahan iaitu Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret.

Mahkamah Syariah pula ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Islam Negeri. Justeru ia terletak di bawah kuasa negeri.

Dahulu asalnya Mahkamah Syariah tertakluk di bawah Mahkamah Sivil. Dengan kata lain, Mahkamah Sivil boleh membatalkan mana-mana keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah.

Pemerkasaan Mahkamah Syariah

Usaha awal pemerkasaan Mahkamah Syariah adalah dengan memisahkan dua entiti ini. Pada 1988, pindaan dilakukan terhadap Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Disebut dalam Perkara 121(1A): “Mahkamah yang disebutkan dalam Fasal (1) – iaitu Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak – tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.”

Kesan daripada ini, secara automatik Mahkamah Syariah diasingkan dari berada di bawah Mahkamah Sivil. Mahkamah Sivil kini perlu menghormati dan tidak boleh campur tangan keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

Walau bagaimanapun, pengasingan ini tidak semestinya menempatkan kedua-dua mahkamah tersebut di tempat yang setara. Mahkamah Syariah masih letaknya lebih rendah berbanding Mahkamah Sivil.

Bidang kuasa Mahkamah Syariah pula adalah amat terhad, diringkaskan dengan formula 3:5:6, iaitu hukuman penjara tidak lebih 3 tahun, denda tidak lebih RM 5,000 dan sebatan tidak lebih 6 kali.

Ia lebih rendah berbanding hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret. Seorang Majistret boleh menjatuhkan hukuman penjara tidak lebih 5 tahun, denda tidak lebih RM 10,000 dan sebatan tidak lebih 12 kali.

Langkah seterusnya

Dari sudut teknikaliti, beberapa isu perlu diambil perhatian. Antaranya ialah menaik taraf kedudukan Hakim Mahkamah Syariah dan memperkasa badan penguatkuasaan agama. Seterusnya perlu wujud penyeragaman undang-undang Islam yang diguna pakai oleh negeri-negeri di Malaysia.

Di sisi undang-undang pula, Mahkamah Syariah masih tetap terbatas kepada formula 3:5:6 tadi, dan juga Senarai Negeri.

Pertama, untuk mengubah formula ini, pindaan perlu dilakukan terhadap Akta 355, iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965. Pindaan ini hanya memerlukan majoriti mudah di Parlimen.

Pindaan ini akan membolehkan hukuman yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah tidak sekadar terikat pada formula 3:5:6 tadi.

Walau bagaimanapun perlu diingat, bidang kuasa hukuman ini hanya terbatas pada senarai II (Senarai Negeri), iaitu hal ehwal keluarga, nafkah, pewarisan dan seumpamanya.

Justeru, kedua, harus ada pindaan terhadap Perkara 76A, iaitu senarai bidang kuasa negeri. Pindaan ini memerlukan majoriti dua pertiga Parlimen. Sekiranya kuasa negeri diperluas sehingga boleh menjangkau hal jenayah berat seperti bunuh, rompak, curi dan sebagainya, maka barulah undang-undang syariah yang digubal oleh negeri seperti hudud dan qisas dapat dilaksanakan.

Menerjah Badai

Inilah yang dilakukan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang dalam usaha membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) di Dewan Rakyat sejak awal 2015 lagi.

Malangnya belum bentang lagi beliau sudah kena hentam oleh pelbagai pihak. Malangnya belum bentang lagi beliau sudah disaman – yang akhirnya ditolak oleh mahkamah.

Giliran pembentangan usul ini pula dilengah-lengahkan pada setiap kali Persidangan Dewan Rakyat kerana urusan kerajaan (rang undang-undang yang dibentangkan oleh menteri kabinet) lebih diutamakan dan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum rang undang-undang persendirian boleh dibincangkan.

Di samping kecaman dan kritikan yang bertali arus, sebahagian pihak lain pula lebih cenderung mengambil jalan mudah dengan membuat pendirian menangguhkan pelaksanaan undang-undang Islam terlebih dahulu, lalu meninggalkan PAS.

Dari sudut perundangan, apa yang dilaksanakan oleh Datuk Seri Tuan Guru Hadi Awang tidak lain hanyalah langkah pertama terhadap realisasi hukum Islam di peringkat negeri.

Langkah pertama pun kena perlekeh dan kena cerca. Langkah pertama pun majoriti umat Islam tidak berani buat. Hendak berniat pun nampaknya tidak boleh.

Sinar harapan

Pada 17 Februari 2016, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom memaklumkan bahawa Akta 355 akan dipinda bagi meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah.

Pada masa yang sama, usaha pihak autoriti agama sama ada di peringkat negeri atau persekutuan dalam menambah baik kedudukan Hakim Mahkamah Syariah turut dihargai, antaranya melalui skim perkhidmatan guna sama di bawah penyeliaan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di peringkat pusat.

Di samping itu, pihak pegawai penguatkuasa agama juga perlu diperkasa dengan cara meningkatkan kemahiran dan menambah bilangan anggota.

Ahli Parlimen pula tetap bertanggungjawab untuk terus mengemukakan notis pindaan Akta 355 agar disenarai dalam Kertas Aturan Mesyuarat pada setiap sesi persidangan Dewan Rakyat. Sempat atau tidak dibahaskan, itu perkara kedua.

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung pada niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, dia akan sampai kepada Allah dan rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah menuju dunia yang akan diperolehnya atau menuju wanita yang hendak dinikahinya, dia akan mendapat apa yang diniatkannya.” – HARAKAHDAILY 17/3/2016

Share on Myspace