Penduduk rumah panjang tidak selesa masalah saliran

SARINA ISMAIL | .

BAYANGKAN seandainya setiap hari terpaksa meranduk air untuk urusan seharian, ke sekolah, kedai dan sebagainya. Kadang-kala air mencecah sehingga empat kaki apabila berlaku hujan lebat terutama di musim tengkujuh.

Fenomena itu berlaku kepada penduduk Rumah Panjang Jawi di Dun Beting Maro apabila satu-satunya jalan utama kerap ditenggelami air akibat saliran sungai tidak sempurna.

Sungai Undai yang menjadi saliran pengairan ke Loji Air Meludan didapati semakin mengecil dan mengakibatkan air sungai melimpah ke jalan yang menjadi hubungan utama penduduk rumah panjang berkenaan.

"Masalah ini dah lama, tetapi tiada sebarang tindakan dibuat," komen Edwin anak Silang, 40, yang menjadi penghuni turun temurun rumah panjang tersebut.

Menurutnya, air mula bertakung apabila tiba musim hujan menjelang September sehingga awal tahun. Walau bagaimanapun pada bulan lain, andainya berlaku hujan lebat, perkara sama juga akan berlaku.

"Lepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, kerajaan negeri berjanji akan datang korek sungai dan perbaiki saliran tapi sampai sekarang hanya tinggal janji kosong. Jalan tak diperbaiki, sungai pun tak dikorek," luah beliau lagi.

Masalah berkenaan bukan sahaja menyusahkan kira-kira 200 orang penduduk di situ malah jalan turut rosak, berlubang-lubang dan mengakibatkan kenderaan mereka rosak terutamanya motosikal.

"Bila hujan lebat, air naik sampai empat kaki. Ini menyukarkan mereka yang nak ke sekolah. Ibu bapa terpaksa hantar ke jalan. Jadi terpaksa tinggalkan kerja kebun," sambung Edwin.

Beliau dan penduduk di situ mengharapkan agar masalah yang mereka hadapi dapat diselesaikan segera. Jalan yang rosak diperbaiki dan tanah yang rendah mohon ditambun agar masalah banjir berkenaan dapat diatasi.

"Bila dekat pilihan raya, baru mereka datang, itu pun jenguk-jenguk sahaja. Tak buat apa-apa pun.

"Untuk kali ini, kami semua janji nak sokong PAS sebab kami yakin hanya PAS dapat bantu kami," tambah beliau.

Tinjauan yang dibuat, Sungai Undai yang menjadi saliran utama di situ didapati semakin mengecil.

Pihak Jabatan Saliran tempat berkenaan seharusnya bertindak membaik pulih sungai berkenaan agar masalah yang dihadapi oleh penduduk 70 buah pintu rumah panjang Jawi dapat diatasi.


Edwin menunjukkan kawasan yang sering berlaku banjir yang merupakan jalan utama penduduk setempat. - HARAKAHDAILY 17/3/2016

Share on Myspace