Selangor naikkan elaun Pengetua dan Guru Besar

SAIDAH HAIRAN | .

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor meluluskan kenaikan elaun Pengetua dan Guru Besar Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) dan Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS) di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung  Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus berkata, kelulusan kenaikan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan pada hari ini.

Katanya, kelulusan itu mengguna pakai surat Kementerian Pelajaran Malaysia bertarikh 26 jun 2015.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah meluluskan kenaikan elaun tanggungjawab Pengetua MITS daripada RM150 kepada RM300.

Manakala katanya, Guru Besar SRA dan SRAI daripada RM100 kepada RM200  bermula bulan julai 2015. Menurut beliau, kenaikan tersebut akan melibatkan guru besar di 223 SRA, 11 SRAI dan pengetua-pengetua di empat MITS.

"Kenaikan tambahan itu akan melibatkan peruntukan tambahan kerajaan negeri sebanyak RM143,000 untuk tahun 2015 dan RM291,600 untuk tahun 2016," katanya.

Beliau berharap dengan keputusan itu pentadbir di SRA, SRAI dan MITS akan lebih bertanggungjawab dan berdedikasi dalam memikul amanah mentadbir sekolah-sekolah tersebut. – HARAKAHDAILY 17/3/2016

Share on Myspace