Tinggal di kontena selepas bah besar 2014

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Biarpun kerajaan pusat dikatakan memperuntuk sebanyak RM60 juta bagi membina rumah kekal mangsa banjir di Kelantan, namun masih ramai lagi penduduk tinggal di rumah transit.

Malah ada dalam kalangan mereka tinggal di kontena dan rumah transit sumbangan NGO.

Di Kuala Krai seramai sembilan keluarga mangsa banjir tinggal di kontena sumbangan Lions Clubs dan 32 keluarga lagi tinggal di rumah transit Mercy di Kampung Tualang.

Manakala mangsa banjir yang tinggal di rumah transit di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sudah berpindah ke penempatan baharu di Telekong.

Di Kuala Krai ada enam penempatan baharu di bawah kerajaan pusat, di mana sebahagian besar belum dibina sebarang rumah untuk mangsa banjir.

Sedangkan kerajaan negeri sudah menyiapkan dua penempatan yang memuatkan 120 rumah di Telekong dan Manek Urai. Mangsa banjir sudah menduduki rumah baharu di Telekong.

Begitu juga di Simpang Tiga Kampung Manek Urai Baru, sebahagian mangsa banjir sudah mendapat kunci dan mendiami rumah tersebut.

“Kami tidak tahu apa nasib kami selepas ini kerana rumah yang disewa sebelum ini musnah sama sekali akibat bah besar akhir 2014.

“Sekarang saya dan lapan lagi keluarga tinggal di kontena sumbangan Lion Club. Tinggal di kontena musim kemarau hanya Allah sahaja yang tahu.

“Tidak boleh hendak duduk pada waktu tengah hari. Ketika hujan pula ada bumbung kontena bocor. Tidak tahu kepada siapa lagi hendak mengadu,” kata seorang mangsa banjir. Sebelum ini beliau menyewa di Jalan Gael.

Menurutnya juga Adun Guchil, Ruslan Puteh dan pemuda PAS sering datang menghulur bantuan dan bertanya khabar.

Kata beliau juga mangsa banjir yang tinggal di rumah transit sumbangan Maik sudah berpindah ke Telekong, mendiami rumah baharu.

Adun Guchil berkata, mangsa-mangsa banjir yang tinggal di kontena dan rumah transit Mercy sepatutnya mendapat rumah di penempatan berkelompok di bawah kerajaan pusat.

“Namun sehingga sekarang belum ada rumah dibina di penempatan baharu oleh  kerajaan pusat di Dun Guchil,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 17/3/2016

Share on Myspace