Penubuhan Majlis Syura Ulamak PAS diluluskan (1987)

HARAKAHDAILY | .

PENUBUHAN MAJLIS SYURA ULAMAK PAS DILULUSKAN (18 MAC 1987)

PADA hari ini dalam tahun 1987, Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah meluluskan Pindaan Perlembagaan PAS yang dibuat oleh Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 pada 30 April - 1 Mei 1983 yang bertujuan untuk mewujudkan Majlis Syura Ulamak PAS sebagai satu badan tertinggi yang mengawal dasar PAS.

Pembentukan institusi baru ini adalah lanjutan dari keputusan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982 yang menetapkan supaya PAS mempelopori kepemimpinan ulamak, mengamalkan kepemimpinan ulamak dan meminda Perlembagaan PAS (Pindaan) 1977 untuk menerapkan konsep kepemimpinan ulamak.

Pada 4 November 1982, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membentuk Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Ustaz Hassan Shukri, Setiausaha Agung PAS untuk mengkaji pindaan ini sebelum ia dikemukakan ke Muktamar Tahunan PAS 1983.

Antara perkara utama dimasukkan dalam pindaan ini ialah mewujudkan sebuah Majlis Syura Ulamak PAS yang dianggotai oleh 12 orang ulamak yang diketuai oleh seorang Mursyidul Am.

Majlis ini diberi kuasa untuk menafsir, menjelas dan menghuraikan dasar PAS, menafsir Perlembagaan PAS, mengeluarkan arahan supaya dasar PAS dipatuhi, memelihara supaya dasar dan ketetapan PAS dipatuhi serta mengawal tatatertib PAS.

Dengan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan PAS (Pindaan) 1987 kepada Majlis Syura Ulamak PAS ini, maka ia menjadi badan tertinggi dalam PAS walaupun ia tidak memiliki kuasa eksekutif.

Kuasa Yang Dipertua Agung (kini Presiden) PAS sebagai ketua parti juga tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulamak PAS supaya "pemantauan dasar PAS itu lebih terjamin dari segi sandarannya kepada kehendak-kehendak syariat Islam".

Ahli-ahli Majlis Syura Ulamak PAS dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS sendiri.

Dengan wujudnya Majlis Syura Ulamak PAS ini, maka PAS menjadi sebuah gerakan Islam yang mengamalkan kepemimpinan ulamak.

Ekoran dari kelulusan penubuhan Majlis Syura Ulamak PAS pada 18 Mac 1987, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 21 Jun 1987 telah bersetuju mewujudkan Majlis Syura Ulamak PAS dengan segera dan mesyuarat pertama Majlis Syura Ulamak PAS diadakan pada 20 Oktober 1987 yang dihadiri oleh empat ahli lantikan Jawatankuasa Kerja Agung PAS dan empat ahli lantikan Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat, sekali gus membolehkan Majlis Syura Ulamak PAS melantik empat lagi ahlinya, selain melantik Ustaz Hassan Shukri sebagai Setiausahanya dan Ustaz Fadzil Mohd Noor sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS.

Pada 16 November 1986, Majlis Syura Ulamak PAS telah melantik Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Rawa sebagai Mursyidul Am PAS yang pertama.

Beliau memegang jawatan ini sehingga 1994 sebelum diganti oleh Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (1994-2013) dan Prof Datuk Dr Haron Din (2013-kini).

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
18 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 18/3/2016

Share on Myspace