Komposer Adnan Abu Hassan meninggal dunia

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Komposer dan penulis lirik terkenal tanah air Datuk Adnan Abu Hassan meninggal dunia di Hospital Selayang awal hari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah berkata Adnan, 57, meninggal dunia kira-kira pukul 2.15 pagi Jumaat akibat komplikasi pelbagai penyakit yang dihidapinya.

"Persatuan seniman mewakili seluruh ahli dan kepimpinan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham... semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman serta beramal soleh," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Al-Falah, Sungai Ramal Dalam, Kajang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam kampung berkenaan pada kira-kira 11 pagi ini.

Dalam kerjaya seninya, Allahyarham menghasilkan banyak lagu yang didendangkan artis-artis tempatan terutamanya menaikkan nama Datuk Siti Nurhaliza dengan lagunya Jerat Percintaan.

Sumbangan besar dalam kerjaya seni turut membolehkan Allahyarham menerima Anugerah Wirama dalam Anugerah Industri Muzik ke-17 pada tahun 2010. - Bernama

Share on Myspace