Hudud dan konteks dakwah di Malaysia

ZAHARUDIN MUHAMMAD | .

Hudud serta perundangan Islam adalah salah satu hukum yang diturunkan oleh Allah swt kepada umat manusia bagi menjamin keadilan dan kestabilan hidup mereka. Sebagaimana Allah menurunkan hukum ibadat seperti solat haji, Allah juga menurunkan hukum yang lain seperti muamalat, munakahat (rumahtangga) hudud dan lain-lain.

Apabila menyebut dakwah, ramai memahami dakwah itu ialah mengajak orang solat. Segelintir pula menyempitkan dakwah itu hanya berkait dengan mengajak orang kepada iman dan ibadat sahaja. Sedangkan dakwah itu ialah mengajak manusia kepada Al-Quran dan As Sunnah dalam semua kategori, iman, ibadat, munakahat, ekonomi, perundangan dan lain-lain yang terkandung di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Ini sangat bersesuaian dengan maksud harfiyah dakwah itu sendiri; penyeruan (kepada Islam).

Dalam realiti di Malaysia, dakwah kepada hudud ada 3 peringkat:

1. Peringkat dakwah: memahamkan orang ramai apa itu hudud, kepentingannya di dalam menstabilkan negara dari semua segi seperti ekonomi dan keamanan.

2. Peringkat Taqnin: iaitu peringkat meletakkan undang-undang ini sebagai undang-undang tertinggi kepada negara dan penguatkuasaannya. Dalam konteks ini, ia melalui proses demokrasi seperti mendapat sokongan 2/3 majoriti ahli parlimen sama ada 2/3 itu 100% muslim atau sebahagiannya non-muslim, itu bukan isu pokok.

3. Peringkat Tatbiq atau Tanfiz: iaitu peringkat pelaksanaan apabila terdapat kes pembunuhan, maka hukuman Qisas dijatuhkan. Apabila tiada kes, maka tiada hukuman dijatuhkan.

Peringkat dakwah berbeza dengan peringkat Taqnin dan peringkat taqnin pula berbeza dengan peringkat tatbiq atau tanfiz. Peringkat dakwah, kita perlu bercakap, memperkenalkan, menceritakan kebaikan dan lain-lain. Termasuk meletakkan undang-undang ini sebagai enakmen negeri adalah salah satu uslub dakwah, supaya semua bercakap dan membuka minda tentang apa itu hudud, kebaikannya, perbandingannya dengan konvensional.

Peringkat Taqnin pula memerlukan kepada lunas-lunas demokrasi dalam konteks kita Malaysia. Dakwah perlu dilaksanakan sehingga keindahan dan keadilan islam itu dapat masuk ke minda masyarakat kita. Apabila mereka memahami keadilan itu, mereka akan menyokong PAS. Apabila PAS mendapat sokongan 2/3, maka hudud dan perundangan islam boleh dijadikan sistem negara (Taqnin). Sebagaimana sistem dan undang-undang yang lain, pengtaqninan boleh berlaku tanpa menunggu semua rakyat malaysia faham. Sebagaimana undang-undnag mat saleh masuk bukan dengan restu rakyat, sebagaimana GST sendiri pun dilaksanakan, hatta tak sampai 10% rakyat yang benar-benar mahir GST.

Peringkat tatbiq pula, ia melihat kepada kewujudan kes berlaku. Apabila ditaqninkan pada tahun 2019, maka boleh jadi pelaksanaanya pada tahun 2022 jika antara 2019-2022 tiada jenayah yang berlaku.

Bila orang kata PAS gopoh melaksanakan hudud, maka sebenarnya orang itu tidak memahami 3 step di atas. Dia berakap seolah-olah duduk di step ke 3, padahal step pertama pun masih belum disempurnakan. - HARAKAHDAILY 18/3/2016

Penulis ialah AJK PAS Pusat.

Share on Myspace