Rehiring: Ulangi kegagalan 6P, isu Pati tidak selesai

HARAKAHDAILY | .

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Isnin lepas telah mengumumkan bahawa Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI (Program Rehiring) yang dilaksanakan bermula pada 15 Februari 2016 lalu dan sepatutnya tamat pada 31 Disember 2016 akan dipendekkan tempohnya sehingga 30 Jun 2016 sahaja.

Saya telah memberikan respons berkenaan isu ini ketika membahaskan titah Seri Paduka Baginda YDPA pada Selasa, 15 Mac yang lalu dan diharapkan ia diberikan perhatian oleh Kerajaan.

Tempoh yang dipendekkan ini berkemungkinan bertujuan untuk memberikan tekanan kepada para majikan agar segera mendaftarkan PATI yang berkerja dengan mereka. Majikan juga diingatkan supaya berbuat demikian bagi mengelakkan daripada didenda dan dipenjarakan.

Melihat kepada jumlah PATI yang didaftarkan menerusi program ini setakat 10 Mac lalu iaitu berjumlah 15,822 orang sahaja sedangkan dianggarkan terdapat 6.7 juta pekerja asing di negara ini termasuk 2.1 juta orang daripadanya yang memiliki permit kerja yang sah dan 4.6 juta orang lagi berstatus PATI, saya berpendapat bahawa Program Rehiring ini bakal mengulangi kegagalan Program 6P yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Polisi kedua-dua program ini sendiri juga sebenarnya dari awal telah gagal untuk menyelesaikan isu sebenar iaitu lambakan pekerja asing di negara ini yang berjumlah 6.7 juta orang iaitu mengatasi bilangan kaum Cina yang berjumlah 6.64 juta orang dan juga kaum India yang berjumlah 2.01 juta orang sekaligus menjadikan kumpulan ini merupakan populasi kedua terbesar selepas kaum Melayu yang berjumlah 15.5 juta orang.

Hakikatnya, sejak pengenalan Program 6P bahkan sebelum itu lagi telah ada program pengampunan PATI yang dilaksanakan pada tahun 1989, 1991, 1996 dan 2004; dan kini pula Program Rehiring, jumlah pendatang asing ke negara ini tidak pernah surut bahkan semakin bertambah pula.

Ini menunjukkan bahawa program seumpama ini gagal menyelesaikan lambakan pekerja asing dan lebih cenderung untuk menggalakkan lagi kemasukan pendatang asing ke negara ini khususnya secara haram. Ini dapat dibuktikan dengan peningkatan jumlah warga asing di negara ini saban tahun.

Sepatutnya Kerajaan menyelesaikan masalah penyelewengan, struktur dan bentuk ekonomi yang melibatkan pekerja asing serta butiran dan pelaksanaan polisi-polisi berkaitan yang mengelirukan; bukannya mengambil kesempatan daripada program-program pemutihan seumpama ini untuk mengaut keuntungan menerusi caj atau bayaran dan levi.

DATUK DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
18 Mac 2016 | 9 Jamadilakhir 1437 - HARAKAHDAILY 18/3/2016

Share on Myspace