Pemuda PAS Pahang bimbang hutang negeri kepada Pusat

BASIRON WAHAB | .

KUANTAN: Pemuda PAS Pahang menyatakan kebimbangan dengan fakta yang dilaporkan dalam persidangan Dewan rakyat baru-baru ini berkaitan hutang Kerajaan Pahang.
 
Ketuanya Hazmi Dobok berkata, Pahang mencatatkan hutang tertinggi kepada Kerajaan Persekutuan berbanding negeri-negeri lain sebanyak RM2.9 bilion.
 
Menurutnya, walaupun Perdana Menteri menyatakan pinjaman tersebut bertujuan membiayai projek kemudahan asas untuk faedah rakyat dan sebagainya, tetapi ia menimbulkan persoalan tentang kebijaksanaan kerajaan Umno/BN di kepimpinan Adnan Yaakob dalam mengurus sumber kewangan negeri.
 
“Kebijaksanaan mengimbangi pendapatan dan pembelanjaan dan mengurus sumber hasil negeri menimbulkan boleh dipertikaiankan.
 
“Rakyat berhak tahu adakah hasil pendapatan negeri memang tidak mencukupi? sampai bilakah kerajaan negeri akan terus dibelenggu hutang,” soal beliau.
 
Katanya rakyat Pahang harus didedahkan dengan data terperinci berkenaan hutang dan mekanisme kerajaan untuk melangsaikannya agar tiada keputusan-keputusan pelik yang dibuat berkaitan kepentingan dan keutamaan rakyat terjejas disebabkan oleh hutang.
 
Katanya lagi, fakta berkaitan hutang ini  amat mengejutkan kerana Adnan Yaakob dilihat sering mewarwarkan kompetensi kepimpinan pentadbirannya. Dengan mewarwarkan kecekapan kepimpinan pentadbirannya.
 
Menurut Hazmi, peringatan Nabi sallallahu‘alaihi wasallam mengenai hutang adalah jelas;

 اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ، فَقَالَ قَائِلٌ؛ مَا أَكْثَرَ مَا تَسْتَعِيذُ مِنَ الْمَغْرَمِ، قَالَ؛ إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ  

maksudnya, “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya; Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? Baginda menjawab; Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari.” (riwayat al-Bukhari, 1/214)
 
“Begitulah keburukan berhutang iaitu boleh membawa kepada pembohongan dan mungkir janji, keduanya adalah sifat orang munafik, itulah yang diajar oleh Islam kepada umatnya supaya berhati-hati dalam masalah hutang,” jelas Hazmi. – HARAKAHDAILY 19/3/2016

Share on Myspace