Mohd Amin dilantik Pengerusi Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan

HARAKAHDAILY | .

HAJI MOHD AMIN DILANTIK MEMPENGERUSIKAN JEMAAH PERSURUHJAYA PAS KELANTAN (19 MAC 1978)

PADA hari ini dalam tahun 1978, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah melantik Ahli Dewan Negara, Senator Haji Mohd Amin Yaakub sebagai Pengerusi Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan menggantikan Dato' Haji Ishak Lotfi Omar yang meletakkan jawatan ekoran kekalahan PAS dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan 1978.

Haji Mohd Amin merupakan pemimpin tertinggi PAS Kelantan yang kelima setelah Ustaz Mohd Asri Haji Muda(1954-1962), Ustaz Khaidir Khatib (1962-1968), Haji Mohd Noor Yusof (1968-1971) dan Dato' Ishak Lotfi (1971-1978).

Berbeza dengan penjawat sebelumnya yang dikenali sebagai Pesuruhjaya, beliau yang dilantik dalam suasana krisis ini ditugaskan sebagai Pengerusi Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Haji Mohd Amin adalah anak kelahiran Pasir Tumbuh, Kota Bharu yang dilahirkan pada 1926 dan merupakan bekas guru sekolah agama dan penulis petisyen penilai di Bachok sebelum 1959.

Beliau yang mulai menjadi Adun Bachok Tengah semenjak 1959 hingga 1974 adalah juga anggota Exco Kerajaan Kelantan (1962-1974), sebelum dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (1974-1980).

Dalam kepemimpinan parti, beliau pernah menjadi Setiausaha PAS Bachok (1956-1959) dan Yang Dipertua PAS Bachok (1959-1964) sekali gus sebagai Ahli Badan Perhubungan PAS Kelantan, selain turut menduduki Jawatankuasa Kerja Agung PAS.

Setelah tidak mempengerusikan Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan, beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya dan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan.

Pelantikan Senator Haji Mohd Amin ini adalah berpunca dari krisis politik Kelantan sejak 1974 yang membawa kepada penubuhan beberapa serpihan PAS seperti Revolusi 14 Mac 1974, Barisan Bebas Bersatu (BBB), Ikatan Muslim Insaf Malaysia (IMAM), Parti Progresif Islam (PPI) dan Barisan Jemaah Islamiyah Malaysia (Berjasa) sehingga akhirnya PAS kehilangan Kelantan dalam Pilihan Raya Negeri pada 11 Mac 1978.

Mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan ini, pada 16 Mac 1978, Dewan Harian PAS Kelantan telah memutuskan untuk meletakkan jawatan yang melibatkan Pesuruhjaya (Dato' Haji Ishak Lotfi), Timbalan-timbalan Pesuruhjaya (Wan Ismail Ibrahim, Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad dan Cikgu Mohd Zain Abdullah), Setiausaha (Ustaz Salahuddin Abdullah) dan Bendahari (Nik Mustafa Shafie).

Keputusan Dewan Harian PAS Kelantan ini telah diterima oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 19 Mac 1978 dan sekali gus PAS Pusat membentuk Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan yang bertanggungjawab untuk memulihkan semula PAS Kelantan setelah krisis ini.

Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan yang dilantik pada 19 Mac 1978 ini terdiri daripada Haji Mohd Amin (Pengerusi), Ustaz Nik Abdullah Arshad, Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar dan Haji Hassan Mohamad (Timbalan-timbalan Pengerusi), Ustaz Ismail Awang (Setiausaha) dan Wan Mahmud Wan Sulaiman (Bendahari).

Pengerusi Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan ini kekal sehingga Haji Mohd Amin melepaskan jawatannya pada 1 Mac 1981 untuk membolehkan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan serentak dengan pembubaran Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
19 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 19/3/2016

Share on Myspace