Seniwati Neng Yatimah selamat dikebumi

MASSITA AHMAD | .

SINGAPURA: Jenazah Allahyarham seniwati Neng Yatimah atau nama sebenarnya Buntat Ahmad, 92, selamat dikebumikan di Pusara Abadi, di Lim Chun Kang Road, selepas waktu asar di sini Sabtu.

Seniwati yang terkenal dengan jolokan 'bintang air mata' itu meninggal dunia di Hospital Khoo Teck Puat, di sini jam 10.10 pagi ini.

Allahyarham disahkan menghidap kanser dan telah beberapa kali menerima rawatan di hospital namun beliau enggan meneruskan rawatan susulan.

Cucu saudara Allahyarham, Isa Sawi, 53, memohon maaf bagi pihak yang mengenali nenek saudaranya.

"Alhamdulillah nenek pergi dalam keadaan yang baik. Saya tidak tahu untuk bercakap apa-apa. Cuma apa yang saya harapkan kepada sesiapa yang mengenali nenek dapatlah memaafkan beliau," katanya kepada Bernama.

Isa yang tinggal bersama seniwati itu sejak berumur satu tahun, menganggap seniwati itu seperti bondanya sendiri.

Sementara itu, cucu Neng Yatimah, Rezainuddin Mustapha berkata kesihatan Neng Yatimah dilaporkan merosot selepas kematian menantunya seniman Datuk Mustapha Maarof, dua tahun lalu.

"Mereka berdua sangat rapat walaupun berjauhan," kata Rezainuddin.

Seniwati itu pernah dilaporkan untuk menghembuskan nafas terakhirnya di Singapura seperti Allahyarham suaminya Jasni Ahmad.

Neng Yatimah adalah seniwati filem Melayu di era 50-an dan 60-an dengan filem lakonannya Air Mata Duyung, Jiran Sekampung, Laila Majnun, Seri Mersing, Racun Dunia dan Mama oh Mama. - Bernama

Share on Myspace