Kursus kewartawanan persiapan tubuh Harakah

HARAKAHDAILY | .

KURSUS KEWARTAWAN DISEMPURNAKAN SEBAGAI PERSIAPAN PENUBUHAN HARAKAH (20 MAC 1987)

PADA hari ini dalam tahun 1987, Lajnah Dakwah dan Penerangan PAS Pusat telah berjaya menyempurnakan kursus kewartawanan sebagai persiapan terakhir untuk penubuhan lidah rasmi PAS yang baru, Harakah.

Sebelum itu, Lajnah Dakwah dan Penerangan PAS Pusat telah menyusun langkah-langkah persiapan dalam aspek-aspek yang lain, ekoran permohonan semula PAS untuk mendapatkan permit penerbitan lidah rasminya sejak 1986.

Sebelum terbitnya Harakah, PAS pernah memiliki lidah rasminya iaitu Suara Islam (1956-1962), Bulan Bintang (1967-1971), Berita PAS (1973-1974 dan 1982) dan Suara Islam (1979-1981).

Walau bagaimanapun, semenjak 1982 PAS tidak lagi memiliki lidah rasmi dan Lajnah Dakwah dan Penerangan PAS hanya menerbitkan majalah isu mingguan yang tidak berkala pada 1986-1987, selain menerbitkan akhbar al-Harakah tanpa permit sejak 1985 sehingga diserbu oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Atas tindakan KDN ini, PAS telah memohon untuk mendapatkan permit penerbitan Harakah.

Lajnah Dakwah dan Penerangan PAS Pusat pada 22 Disember 1986 dan 27 Februari 1987 telah memutuskan untuk memohon permit penerbitan tersebut.

Lanjutan itu, PAS telah menyusun tenaga-tenaga pakar dalam kewartawanan termasuk wartawan terkenal, Haji Ahmad Subky Abdul Latif, selain Ustaz Nakhaie Ahmad selaku Ketua Penerangan PAS Pusat.

Mereka telah mengadakan siri-siri kursus kewartawanan sebagai persiapan untuk menubuhkan Harakah bermula 14 Mac 1987. Pada 15 Mac 1987, diadakan kursus lanjutan selama enam hari.

Kursus kewartawanan yang berakhir pada 20 Mac 1987 ini telah berjaya mempersiapkan jentera kerja Harakah, terutama apabila KDN meluluskan permit penerbitan Harakah pada 3 April 1987 dan edisi pertama Harakah berjaya diterbitkan 3 April 1987 itu juga, dengan memberi liputan terhadap Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-33 yang julung kali diadakan di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar.

Pada permulaan penerbitannya, Harakah dipimpin oleh Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad selaku Pengarang Harakah dan ia diterbitkan dua kali seminggu setiap Isnin dan Jumaat.

Walau bagaimanapun, pada 12 April 2001, permit penerbitan Harakah dikurangkan kepada dua kali sebulan hingga 24 Jun 2008.

Pada 23 Mac 2009, Harakah telah digantung selama tiga bulan oleh KDN, tetapi ditarik balik Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak pada 5 April 2009 sempena pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri.

Pada 8 Julai 2010, sekali lagi Harakah telah dikenakan tunjuk sebab oleh KDN dengan tidak diperbaharui permit penerbitannya. Namun begitu, Harakah telah berjaya melangkah maju dengan berjaya menubuhkan portal online, Harakahdaily sejak 19 Ogos 2001.

Dan kini Harakah telah berjaya menerbitkan naskah bercetaknya untuk edisi ke-2131.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
20 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 20/3/2016

Share on Myspace