Khidmat Malaysia berjaya jadi badan penyelamat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Khidmat Malaysia perlu melahirkan pakar dalam misi menyelamat dan dalam waktu yang sama perlu bertindak pantas apabila berlaku sesuatu bencana.

Itulah hasrat Ketua Pengarahnya, Datuk Iskandar Abd Samad semasa melancarkan Khidmat Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan di Darul Ummah, Kampung Pandan, petang semalam.

Beliau memaklumkan bahawa dalam usia muda iaitu 3 tahun penubuhan Khidmat Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia (MEDM), ia telah berjaya dalam hasratnya untuk menjadi sebagai sebuah badan penyelamat yang cekap di semua peringkat yang diperolehi melalui pelbagai latihan.

"Khidmat Malaysia mempunyai dua fungsi utama. Pertama ia akan  bertindak sebagai penyelaras terhadap pelbagai aktiviti kemanusiaan yang dilakukan oleh pelbagai unit dalam PAS. Kedua sebagai penaung kepada pelbagai kepakaran penyelamat semasa bencana," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad dalam ucapannya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli PAS di semua peringkat atas keperihatinan dan usaha kebajikan untuk  turun ke tengah-tengah masyarakat.

Katanya, ia sesuai dengan seruan al-Quran untuk berlumba-lumba membuat kebajikan (fastabiqul khairat).

Beloau berkata, PAS mesti dilihat sebagai satu badan yang prihatin dan sensitif, bersedia turun ke lapangan pada bila-bila masa.

"Ia bukan sahaja sebuah badan syiasah atau dakwah, tetapi aktif dalam misi kemanusiaan dan kebajikan," tambahnya lagi.

Pengerusi Khidmat Malaysia bagi Wilayah Persekutuan, Yaccob Omar pula memaklumkan bahawa penjenamaan semula Khidmat Malaysia yang kini di bawah kelolaan Iskandar telah memberikan nafas baru bagi memastikan PAS berada di tengah-tengah  masyarakat memberikan khidmat kemanusiaan dan kebajikan. - HARAKAHDAILY 20/3/2016

Share on Myspace