Walaupun peringkat awal mereka memusuhi kita

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ilmuan yang takut dan mendekatkan diri kepada Allah SWT akan menggunakan ilmunya untuk memberi pencerahan kepada masyarakat.

"Mereka berani menerangkan Islam tanpa ragu-ragu," kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Menurutnya, mereka berusaha untuk mencari jalan supaya Islam dapat dihayati, bukan mencari alasan untuk dijauhi.

"Ia tidak memperdagangkan ilmu semata-mata untuk menuntut habuan dunia yang sedikit," ujarnya menerusi laman facebook.

Beliau menambah, kecerdikan ialah anugerah Allah SWT yang diberikan kepada orang yang terpilih.

Justeru, kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, gunakanlah kepandaian itu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

"Biarlah ilmu bertambah, tawaduk turut bertambah. Tidak guna jika kita pandai tetapi semakin ego dengan ilmu yang dimilki," ujarnya.

Beliau menambah, izzah dan kehebatan orang yang berilmu terhijab dengan sifat ego mereka.

"Berbicara dengan orang yang cerdik agak mudah kerana mereka memahami apa yang kita bicara," katanya.

Tambahnya, mereka boleh menerima apabila dikemukakan hujah, dalil dan fakta.

"Walaupun pada peringkat awal mereka memusuhi kita. Benarlah kata pepatah Arab, musuh manusia ialah kejahilannya," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 20/3/2016

Share on Myspace