Hubungi Wisma Putra jika mahu ke Istanbul

BERNAMA | .

KEPALA BATAS: Rakyat Malaysia yang mahu ke Istanbul dinasihatkan supaya menghubungi Wisma Putra atau Kedutaan Malaysia di Ankara, Turki bagi mengetahui perkembangan di negara itu ekoran insiden serangan bom di Jalan Istiklal di Dataran Taksim, Istanbul, pada Ahad lepas.

Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat dan mengikuti perkembangan semasa di Istanbul, Wisma Putra turut membuka talian 24 jam, 03-88874570.

"Selain itu, orang ramai atau pelancong Malaysia yang berada di sana juga boleh menghubungi kedutaan kita di Ankara di talian +903124463547 atau +903124463548 atau emel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. bagi mendapatkan maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembangunan dan Pemodenan Sektor Padi di Pusat Pengeluaran Benih Padi Pertubuhan Peladang Kawasan Lahar Bubu, di sini Ahad.

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden serangan bom itu yang mengorbankan lima orang dan mencederakan 36 yang lain termasuk 12 warga asing.

Reezal Merican berkata pihaknya akan memantau situasi itu secara berterusan dan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden itu dari semasa ke semasa.

Katanya ketika ini terdapat 81 pelajar Malaysia di Istanbul dan kesemua mereka dilaporkan selamat.

"Ramai juga rakyat Malaysia yang berada di sana ketika ini untuk melancong dan setakat ini Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat kita yang terlibat dalam insiden itu.

"Bagaimanapun Kedutaan Malaysia berhubung rapat dengan pihak berkuasa di Turki untuk mengesahkan jika ada rakyat Malaysia terbabit dalam serangan itu," katanya. - Bernama

Share on Myspace