Pejabat MB urus peruntukan Dun Kijal, bukan Ahmad Said

BERNAMA | .

KUALA TERENGGANU: Peruntukan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal tidak lagi diuruskan Anggota Dun kawasan itu Datuk Seri Ahmad Said, sebaliknya ia kini diuruskan pejabat Menteri Besar.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu berkata langkah itu diambil susulan tindakan Ahmad yang tidak mencerminkan statusnya sebagai wakil rakyat kerajaan baru-baru ini.
    
"Kerana itu, saya sebagai pemimpin kerajaan ketika ini menghentikan peruntukan itu diuruskan Adun Kijal dan diuruskan oleh pejabat Menteri Besar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
    
Pada 8 Mac lepas, Ahmad yang juga bekas Menteri Besar mengemukakan cadangan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif pada persidangan Dun namun, ia ditolak oleh Yang Dipertua Dun Datuk Mohd Zubir Embong.
    
Ahmad Razif berkata Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu juga sedang membuat pelbagai persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum. - Bernama

Share on Myspace