Amanat YDP Agung PAS ganti manifesto PRU 1964

HARAKAHDAILY | .

AMANAT YANG DIPERTUA AGUNG PAS GANTI MANIFESTO PILIHAN RAYA UMUM 1964 (21 MAC 1964)

PADA hari ini dalam tahun 1965, Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy telah mengeluarkan 'Amanat Yang Dipertua Agung PAS' bagi menggantikan Manifesto PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Kedua pada 25 April 1964.

PAS tidak mengeluarkan manifesto atau tawaran-tawaran politiknya dalam Pilihan Raya Umum 1964 ini kerana suasana tekanan politik yang sangat kuat dihadapi oleh PAS setelah berlaku krisis politik dengan Indonesia sejak 1963, sehingga negara itu mengisytiharkan konfrantasi pada 3 September 1964.

Pilihan Raya Umum 1964 diadakan dalam suasana politik yang tegang dan PAS menerima tekanan yang berat bermula dari usaha menjatuhkan Kerajaan PAS Terengganu pada 1961, kemudian PAS dituduh sebagai pengkhianat negara kerana menentang penubuhan Malaysia, selain menggunakan isu kafir-mengkafir untuk menyerang PAS sehingga beberapa Ulamak ditahan ISA pada 1963.

PAS yang menggagaskan Melayu Raya dituduh pula sebagai agen Indonesia, sehingga Dr Burhanuddin al-Helmy dan Naib Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Raja Mohd Hanifah Abdul Ghani ditahan ISA pada 1965. Sedangkan sebelum itu, Dr Burhanuddin al-Helmy telah didakwa di mahkamah sehingga beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen pada 29 November 1963.

Dalam suasana tekanan politik merosakan imej PAS ini, Perikatan membubarkan Parlimen pada 1 Mac 1964 sementara PAS terus dikaitkan sebagai pengkhianat yang bersekongkol dengan Indonesia.

Menyedari kedudukan PAS ini, PAS telah meletakkan sejumlah calon dalam Pilihan Raya Umum 1964 dengan sasaran untuk menjadi pembangkang yang kuat, bukan untuk memerintah.

PAS hanya meletakkan 53 calon dari 104 kerusi yang dipertandingkan. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 7 Mac 1964 memutuskan supaya PAS tidak mengeluarkan manifesto yang bermaksud PAS menyertai pilihan raya ini bukan untuk membentuk kerajaan, tetapi untuk berperanan mengimbangi Kerajaan Perikatan sahaja.

Sebagai ganti kepada manifesto ini, PAS pada 21 Mac 1964 telah mengeluarkan siaran bertajuk 'Amanat Dr Burhanuddin al-Helmy Yang Dipertua Agung PAS' di mana PAS membuat seruan-seruan berikut:

I. Rakyat jangan terikut-ikut, terugah dan takut dalam melaksanakan tugas-tugas demokrasi di negara ini;

II. Rakyat jangan terkeliru, terkecewa dan tertipu dengan pancingan undi yang boleh merosakkan cita-cita bangsa Melayu dan agama Islam;

III. Rakyat mesti mengundi PAS sebagai peluang terakhir untuk menebus kembali hak bumiputera bangsa Melayu dari kezaliman politik dan perampasan hak ketuanan Melayu yang menjadikan orang Melayu merempat di negara sendiri; dan

IV. Rakyat mesti mengundi PAS untuk meneruskan perjuangan politik Islam, iaitu amar makruf nahi mungkar.

Setelah berlangsungnya Pilihan Raya Umum 1964, PAS telah memenangi sembilan kerusi Parlimen dan 25 kerusi Dun daripada 153 kerusi yang ditandingi oleh PAS.

PAS juga berjaya mengekalkan kerajaan di Kelantan dengan menguasai 21 kerusi Dun, di samping mengaut 14.6 peratus undi popular iaitu kemerosotan sebanyak 8.4 peratus berbanding Pilihan Raya Umum 1959.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
21 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 21/3/2016

Share on Myspace