Malaysia masih jauh realisasi wujud keharmonian kaum

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meraikan Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Diskriminasi Kaum 2016 yang disambut setiap tahun pada 21 Mac dengan tema tahun ini ialah "Cabaran dan Pencapaian Deklarasi Durban dan Program Tindakan – Selepas 15 tahun".

Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) telah diterimapakai dan dibuka untuk ditandatangan dan diratifikasi oleh Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1965.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berkata ICERD menyatakan komitmen negara-negara anggota untuk menghapusan diskriminasi kaum dan memupuk persefahaman di kalangan semua kaum.

Katanya, konvensyen itu juga memerlukan negara-negara anggota untuk mengharamkan ucapan berunsur kebencian selaras dengan mukadimahnya yang menyatakan bahawa "tiada justifikasi untuk diskriminasi kaum, secara teori atau amalan".

Menurutnya, sehingga Mac 2016, Malaysia masih belum menyertai konvensyen tersebut yang ketika ini telah mempunyai 88 tandatangan dan penyertaan 177 buah negara.

"Situasi semasa membuktikan bahawa Malaysia terus berhadapan dan masih jauh dalam usaha merealisasikan matlamat untuk mewujudkan keharmonian antara etnik, kaum dan agama yang telah diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu," jelasnya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, ujar beliau satu kajian oleh Centre for a Better Tomorrow (CENBET) mendedahkan bahawa walaupun secara keseluruhan kajian menunjukkan responden menentang perkauman tetapi dapatan juga menyatakan bahawa 1 daripada 3 rakyat Malaysia tanpa disedari atau diakui mempunyai perasaan perkauman.

Tambahnya lagi, walaupun Perlembagaan Persekutuan boleh memberikan perlindungan berkaitan diskriminasi kaum kepada rakyat, Suhakam menegaskan seruannya agar kerajaan menyertai ICERD dalam memenuhi tanggungjawab Malaysia secepat mungkin bagi menghapuskan diskriminasi kaum dalam segala bentuk dan manifestasi.

Ini juga, katanya bagi menjamin persefahaman dan menghormati maruah sesama manusia dan tindakan ini seterusnya dapat menterjemahkan komitmennya kepada prinsip asas memartabatkan maruah setiap insan.

Beliau berkata, sempena meraikan Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Diskriminasi Kaum, Suhakam juga menyeru kerajaan untuk memenuhi janjinya dalam menggubal Akta Jenayah Kebencian Kaum dan Agama yang bertujuan untuk mengharamkan ucapan berunsur kebencian dan Akta Penyelarasan dan Keharmonian Nasional bertujuan melarang diskriminasi.

Katanya lagi, Suhakam berpendapat bahawa mempromosikan sikap toleransi dan saling memahami bahawa semua orang adalah sama dari segi maruah dan hak-hak mereka akan memberi sumbangan besar kepada masyarakat yang lebih harmoni dan tenteram serta bebas daripada prasangka, sikap tidak bertoleransi dan stereotaip. - HARAKAHDAILY 21/3/2016

Share on Myspace