Bantuan bulanan warga emas tidak diberi perhatian

JOFRI JARAIEE | .

MIRI: Kampung Pujut Tanjung Batu Jalan Miri Bypass atau nama asalnya 'Pujut Rail' merupakan penempatan setinggan di pinggir bandaraya Miri. Kebanyakan penduduk di situ berbangsa Melayu Miriek, Melanau, orang Ulu dari Baram dan juga Iban.
 
Kebanyakan penduduk di situ adalah peribumi Sarawak dan sudah menetap di situ lebih dari 50 tahun. Walaupun bandar raya Miri merupakan sebuah bandar raya peranginan yang indah dan menarik tetapi masih terdapat lagi rakyat dan penduduk peribumi yang kurang bernasib baik tinggal dalam keadaan daif disebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah yang mampu milik.
 
Bukan saja rumah terlalu mahal dan mereka juga tidak dapat menikmati kemudahan asas yang disediakan oleh pihak kerajaan termasuk elektrik dan bekalan air bersih. Mereka seolah-olah dianggap sebagai golongan kelas bawahan disebabkan mereka tinggal diatas tanah kerajaan dan dianggap sebagai setinggan walaupun mereka adalah penduduk asal dan juga warganegara Malaysia.
 
Penduduk asal yang sepatutnya menikmati kemudahan asas dari pihak pemerintah tetapi dipinggirkan disebabkan mereka tidak mampu bersaing dengan pelabur luar yang kaya raya serta mampu membeli tanah dari pihak kerajaan yang sepatutnya penduduk asal diberi geran tanah.
 
Mereka sudah lama memohon kemudahan asas tersebut tetapi malangnya pemohonan mereka ditolak disebabkan mereka tinggal di penempatan setinggan. Mereka terpaksa menyambung bekalan elektrik dan air dari rumah sebelah yang ada kemudahan tersebut.

Mereka memohon pada PAS agar masalah mereka dapat disampaikan kepada pihak berkuasa untuk diberi kemudahan asas tersebut kerana mereka juga adalah rakyat Malaysia yang berhak menikmati kemudahan asas dari pihak pemerintah.

Jambatan papan kayu atau titian yang usang menuju ke rumah mereka yang dibina dipinggir sungai juga tidak begitu selamat untuk digunakan sekiranya tidak berhati-hati. Rumah mereka juga dibina menggunakan papan kayu dan papan lapis yang terpakai dan mereka amat memerlukan bantuan dari pihak berkuasa untuk membina rumah yang selesa dan selamat untuk tempat tinggal.

PAS juga menerima aduan dari warga emas yang masih belum mendapat bantuan bulanan dari badan kebajikan. Mereka sudah lama memohon tetapi tiada sebarang jawapan sehingga kini.
 
Antara mereka ialah Helmi Majid dan isteri beliau Rashidah Johni dari Kampung Pujut Padang Kerbau, dan juga Pa Keri dari Kampung Pujut Tanjung Batu Jalan Miri Bypass pernah memohon bantuan kebajikan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat di Miri tetapi sehingga kini tiada sebarang jawaban diterima dari Jabatan Kebajikan berkenaan.
 
PAS mengesa pihak berkuasa dan pihak yang berkenaan dapat segera membantu serta menyelesaikan masalah penduduk yang berkenaan dengan sebaiknya kerana mereka adalah sebahagian dari rakyat Malaysia yang berhak diberi tempat tinggal yang selesa serta bantuan yang sewajarnya. Kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah ini amat dihargai. – HARAKAHDAILY 21/3/2016

Share on Myspace