Cuaca panas: Selangor pantau bekalan air untuk pertanian

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor menjalankan pemantauan rapi berkaitan isu bekalan air untuk pertanian berikutan keadaan cuaca panas dialami ketika ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib, berkata tiada masalah kekurangan air dihadapi kerana bekalan air di negeri itu mencukupi.

“Kita memang menjalankan pemantauan mengenai situasi berlaku kini dan melihat sejauh mana cuaca panas ini memberikan kesan kepada petani.

“Setakat ini belum lagi dan kita hanya memberikan bantuan input pertanian kerana masalah air belum lagi mendesak,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata, bagaimanapun keadaan dihadapi kini diberi perhatian serius kerana sedikit sebanyak mungkin memberi kesan.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Pertanian Negeri perlu memainkan peranan berkesan menerusi pengagihan air secara terbaik.

“Seperti mana kawasan di sini, sungai berhampiran menyalurkan air ialah Sungai Bernam maka kita ingin melihat kebarangkalian untuk membuat program atau projek sebagaimana kita lakukan di Sungai Selangor dengan Hybrid Off River Augmentation System (HORAS).

“Ia konsep kolam takungan dari sungai pada musim tengkujuh untuk digunakan kembali pada musim kering dan dikira wajar untuk kita mengenal pasti fasa dan juga tanah yang sesuai untuk kita bangunkan kolam sebegini,” katanya kepada media selepas Program Peningkatan Hasil Padi dan Penyerahan Bantuan Baja Mikrob di Tanjong Karang, semalam. Seramai 800 petani menerima bantuan baja mikrob dalam majlis berkenaan.

Menurutnya, konsep itu boleh dilaksanakan untuk pertanian dan ia dikaji kerana sebelum ini konsep terbabit tidak dijalankan bagi tujuan berkenaan.

Namun, beliau menjelaskan keadaan panas berlaku kini tidak menjejaskan penanaman padi kerana kepanasan juga diperlukan untuk kaedah penanaman.

“Ia tidak memberi kesan penurunan berbanding dengan jerebu dialami sebelum ini.

“Ini kerana padi memerlukan air untuk menanam tetapi cuaca panas juga baik kerana ia perlukan cahaya matahari,” katanya.

Share on Myspace