Khairy sahkan pegawai KBS disiasat SPRM

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini mengesahkan pegawai kementeriannya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penyelewengan.

Katanya beliau telah dimaklumkan SPRM beberapa minggu lepas tentang siasatan yang dijalankan terhadap pegawai tersebut.

Khairy dalam sidang media berhubung perkara itu berkata KBS akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM supaya siasatan itu dapat dijalankan dengan pantas dan menyeluruh.

"KBS menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan," katanya.

SPRM Jumaat lepas menahan seorang setiausaha bahagian di kementerian itu selepas disyaki terlibat mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.

Modus operandi sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak 2010 ialah menggunakan bahagian kewangan agensi di kementerian membuat bayaran kepada 14 syarikat bagi tujuan menjayakan program berkaitan acara sukan. - Bernama

Share on Myspace