Jangan bimbang kami ke Himpunan 20K Huffaz

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kehadiran pemimpin PAS di dalam Majlis Himpunan 20,000 Huffaz semalam adalah untuk memberi sokongan padu kepada pembentukan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Kebangsaan (Pinta).

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan, mereka hadir ke majlis tersebut yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan adalah atas undangan rasmi dari pihak Pinta.

"Jangan bimbang sahabat sekelian. Kami pergi ke majlis Himpunan 20K Huffaz adalah untuk memberi sokongan padu kepada pembentukan PINTA (Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Kebangsaan) yang di dalamnya lebih 300 buah Maahad Tahfiz bergabung bagi memperjuangkan pusat pengajian tahfiz dan juga kami hadhir atas undangan rasmi dari PINTA," ujarnya di laman Facebook beliau hari ini.

Namun katanya, mereka tidak mengelak daripada bertemu Perdana Menteri di dalam majlis itu yang juga dijemput untuk merasmikan Himpunan 20,000 Huffaz tersebut dengan maksud untuk mengaplikasikan Politik Dakwah.

"Kita akan teguh berprinsip bagi memperjuangkan Islam dan menentang kemungkaran. Kami akan perangi penyakit (ideologi yang salah dan bertentangan dengan Islam), kami tidak memusuhi pesakitnya.

"Sebaliknya kami akan terus berjuang untuk menegur, mengkritik dan mendidik mereka agar kembali ke jalan Allah SWT,"ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Sejak semalam gambar beliau dan Ketua Pemuda PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz kelihatan bermesra dengan Perdana Menteri DatuK Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di dalam majlis itu, menjadi viral dan dijadikan modal pihak tertentu untuk menyerang PAS. – HARAKAHDAILY 21/3/2016

Share on Myspace