Dana KBS RM100 juta: Boleh ditipu begitu sahaja?

HARAKAHDAILY | .

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengambil serius pengakuan yang telah dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengesahkan bahawa seorang pegawai dari Kementeriannya telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 17 Mac lalu berhubung penyelewengan dana berjumlah RM100 juta. Pegawai tersebut telah ditahan bersama beberapa orang lagi suspek yang dipercayai kontraktor yang memberi rasuah.

DPPM dengan ini mendesak agar Menteri Belia dan Sukan mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas penyelewengan dana yang sangat besar ini.

Adalah amat mustahil penyelewengan sebesar ini berlaku dalam masa yang singkat dan tanpa konspirasi dari pentadbiran tertinggi Kementerian.

Sekalipun menurut Khairy, penyelewengan tersebut tidak dapat dikesan oleh kementerian kerana suspek berkenaan menggunakan prosedur yang tidak memerlukan kelulusan dari pihak atasan, ia tetap merupakan satu kelemahan yang tidak boleh dimaafkan.

DPPM mendesak agar Menteri Belia dan Sukan berundur dan meletakkan jawatan dengan kadar yang segera kerana telah terbukti gagal untuk memastikan wang rakyat diurus dengan sebaik mungkin oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan.

Adalah merupakan satu perkara yang sangat menyedihkan apabila dilaporkan bahawa pegawai berkenaan telah hidup mewah hasil rasuah dengan membeli kereta mewah, jam berjenama, barang kemas dan unit-unit saham dalam satu tempoh masa yang agak lama.

Adakah perkara sebegini tidak pernah menimbulkan tanda tanya di kalangan warga Kementerian sehingga pihak pengurusan boleh ditipu begitu sahaja? Di manakah sistem pemantauan yang disediakan bagi memastikan setiap urusan tuntutan sesuai dengan program yang dijalankan?

DPPM sepenuhnya berpandangan bahawa siasatan secara telus dan adil tanpa sebarang campur tangan oleh pihak atasan hanya akan dapat dijalankan sekiranya Menteri berkenaan meletakkan jawatan terlebih dahulu.

Tanpa pengunduran dari Menteri Belia dan Sukan, tiada sebarang jaminan siasatan dapat dilaksanakan dengan telus apatah lagi jika benar andaian bahawa sebahagian daripada hasil penyelewengan berkenaan diperuntukkan untuk ‘aktiviti politik’ parti-parti tertentu.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) – HARAKAHDAILY 21/3/2016

Share on Myspace