Guan Eng disaran bercuti hingga siasatan selesai

HARAKAHDAILY | .

MERUJUK kepada isu pembelian sebuah rumah banglo oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dilaporkan dibeli di bawah harga pasaran, Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPPNPP) berpandangan bahawa Lim Guan Eng perlu bercuti daripada menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri sehingga pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai melakukan siasatan.

Tindakan bercuti ini perlu bagi memastikan ketelusan dan kelancaran proses siasatan pihak berwajib.

DPPNPP turut menyokong pendirian Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa Lim Guan Eng adalah tidak bersalah sehingga diputuskan bersalah oleh pihak mahkamah.

Pendirian beliau ini disifatkan sebagai berjiwa besar kerana mengambil pendirian mempertahankan seseorang yang belum diputuskan bersalah walaupun bersikap memusuhi PAS.

DPPNPP yakin bahawa sikap yang sama seperti ini dipamerkan Presiden PAS terhadap isu Tan Sri Khalid Ibrahim ketika krisis Menteri Besar Selangor sebelum ini.

Sikap Presiden PAS melambangkan konsistensi PAS terhadap prinsip perjuangan Islam yang mempertahankan kebenaran, sekalipun ia datang daripada pihak yang berlawanan.

Pendirian dan prinsip Presiden PAS ini adalah selari dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dipraktikkan oleh PAS sekarang berdasarkan ciri bertunjangkan prinsip Islam, rasional dalam membuat keputusan dan profesional dalam tindakan.

Pendekatan ini jauh berbeza dengan pendekatan politik konvensional sesetengah pihak yang mengambil pendekatan konfrontasi menewaskan musuh dengan apa jua cara, demi mencapai kepuasan politik kekuasaan semata-mata.

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 21/3/2016

Share on Myspace