Kajian terperinci sebat di tempat terbuka

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedang mengkaji secara terperinci hukuman sebat di tempat terbuka sebelum dapat dilaksanakan di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata Jawatankuasa Sekretariat Hudud di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) diminta membuat kajian terperinci mengenainya.

Katanya kerajaan negeri berharap mendapat maklum balas daripada orang ramai mengenai cadangan itu.

“Hukuman sebat terbuka memang dibolehkan cuma Jawatankuasa Kanun Jenayah Syariah II meminta Sekretariat Hudud di bawah Jaheaik membuat kajian dahulu.

“Tujuannya untuk mengetahui pro dan kontra hukuman sebat secara terbuka sebelum ia boleh dilaksanakan,” katanya di sini hari ini.

Pada persidangan Dun dua minggu lepas anggota Datuk Nassurudin Daud memberitahu kerajaan Kelantan akan membuat kajian bagi melaksanakan hukuman sebat 6 rotan pesalah zina di khalayak ramai untuk menimbulkan rasa gerun orang ramai.

Sebelum itu Adun Tawang Datuk Hassan Mohamood mencadangkan kerajaan negeri menjalankan hukuman sebat enam rotan ke atas kesalahan zina di tempat terbuka.

Tahun lepas Mahkamah Tinggi Sabah menjatuhkan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang disabit kesalahan zina di perkarangan mahkamah dengan disaksikan 40 jemputan khas.

Mohd Amar berkata, Jaheaik dengan kerjasama Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) akan membuat kajian berhubung perkara itu.

“Tempat juga perlu dikaji kesesuaiannya sama ada di masjid, padang, hadapan mahkamah atau sebagainya,” katanya. - HARAKAHDAILY 21/3/2016

Share on Myspace