Sekampit beras, inilah sumbangan kami

HARAKAHDAILY | .

 

 

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَاتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكٰتٍ مِّنَ السَّمَآءِ وَالْأَرْضِ وَلٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنٰهُم بِمَا

كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah kami akan limpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami) itu, maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya. (Surah Al A'raf 96)

Menyedari kedudukan ekonomi negara pada hari ini dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi, rakyat berada di dalam dilema yang berpanjangan. Sikap kerajaan yang tidak memikirkan serta membela nasib rakyat bagi menyelamatkan rakyat dari terus dibelenggu kehimpitan hidup amat mengecewakan.

Di kota metropolitan ibu negara Kuala Lumpur, rakyat berdepan dengan kos urusan harian yang tinggi. Bermula dari kesusahan mendapat kerja, peningkatan mendadak kos kehidupan dari segi sewa rumah, bahan keperluan dapur sehingga kepada isu pengangkutan awam.

Dengan keadaan yang demikian, Dewan Pemuda PAS Selangor tampil dengan beberapa siri "flash mob" untuk menyedarkan rakyat akan kezaliman kerajaan serta ruang yang terhad itu untuk memberi signal pada pihak berkuasa agar lebih cakna akan kesempitan hidup rakyat.

Terkini kehimpitan hidup menjalar ke kawasan desa. Pemuda PAS Selangor terpanggil untuk sama-sama mengerakkan bantuan kepada rakyat yang berada di desa. Terutama mereka yang berkerja sebagai penoreh getah. Rakyat di kawasan Baling, Padang Terap dan Sik di Kedah yang rata-rata adalah seorang penoreh berdepan dengan harga getah yang terlalu rendah iaitu RM2.05 Sekilo.

Senario kejatuhan harga getah yang melampau tersebut menyebabkan masyarakat yang mengharapkan pendapatan sepenuhnya sebagai penoreh getah terpaksa menerima kenyataan bahawa mereka kini berdepan dengan masa depan tidak menentu dan tergolong dalam kategori miskin tegar dalam masyarakat.

Justeru Pemuda PAS Selangor melancarkan "Kempen Sekampit Beras" khusus kepada penoreh getah yang berada di Kedah. Walaupun hanya dengan sekampit beras dan beberapa bahan dapur yang dikira tidak besar nilainya, namun objektif kempen ini berasaskan beberapa perkara.

i. Meringankan beban yang ditanggung oleh para penoreh getah
ii. Menyedarkan rakyat akan penindasan dan ketidakpedulian pihak kerajaan terhadap nasib rakyat
iii. Memberi isyarat kepada kerajaan agar melihat dan serta melaksanakan peranan sebagai sebuah kerajaan untuk mengeluarkan rakyat dari keperitan hidup ini

Melalui Lajnah Kebajikan Dewan Pemuda PAS Selangor, Pengerusinya Saudara Zahrizan Jamaludin amat komited bersama bantuan sokongan daripada semua entiti anak muda yang turut bekerjasama dalam merealisasikan bantuan "Sekampit Beras" ini.

Serahan dibuat secara berperingkat. Peringkat pertama telah pun disampaikan pada 14 Mac 2016 yang lalu sebanyak 60 set bahan dapur bersamaan dengan nilai RM3,000.00 kepada Ustaz Mohd Azam Abd Samad, Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Kedah.

Serahan kedua dibuat melalui Naib Ketua Pemuda PAS Selangor Ustaz Hanafi Zulkafli kepada penduduk di Baling. Serahan peringkat ketiga dengan nilai sebanyak RM2,000.00 akan dibuat tidak lama lagi.

Dewan Pemuda PAS Selangor berharap dengan sumbangan ini dapatlah membantu sedikit sebanyak keperitan nasib hidup para penoreh getah dan meringankan beban bagi menghadapi hari-hari yang mendatang.

SYARHAN HUMAIZI HALIM
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor – HARAKAHDAILY 22/3/2016

Share on Myspace