Himpunan 20,000 huffaz al-Quran

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Antara anugerah besar Allah ke atas kita ialah dikurniakan masa yang terisi zikrillah. Ia menarik kita untuk menikmati tafakkur mengingati segala nikmat Allah ke atas kita.

Antara nikmat itu ke atas saya ialah menghadiri perhimpunan 20,000 para huffaz al Quran anjuran PINTA, sebuah persatuan gabungan ratusan madrasah tahfiz di seluruh negara. Terasa kemanisan, kekuatan, ketenangan dan keyakinan yang tinggi terhadap perjuangan menegakkan kalimah Allah di muka bumi.

Jika saya ditanya, saat manakah paling bertuah saya mengecapi kehidupan, pasti saya tiada sukar menjawab. Ia adalah saat saya pernah menjadi pelajar tahfiz al Quran sepenuh masa di India 26 tahun yang lepas. Hari ini genap 46 tahun umur saya.

Ketika saya melihat ribuan anak-anak tahfiz berhimpun membaca al Quran di Masjid Wilayah Persekutuan itu, hati saya tersentuh sekali. Ia seperti menyentap perasaan untuk kembali hidup dan tidur bangun bersama alunan al Quran di bibir dan hati sebagaimana 26 tahun yang lampau. Ia adalah kekhusyukan yang sukar digambarkan.

Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak persatuan yang turut menjemput saya sebagai tetamu program. Perhimpunan anjuran PINTA itu turut dihadiri YAB Perdana Menteri Malaysia yang merasmikannya.

Ia adalah saat pertemuan terbaik saya dengan YAB Perdana Menteri. Jika ada yang tercalar hati mereka dengan pertemuan tersebut, lalu mentohmah, bolehlah mereka mengubati sendiri duka dan amarah di hati mereka dengan berkata, "Tidak cukupkah lagi masjid, al Quran dan perhimpunan zikrillah menjadi penyejuk hati dan kerehatan bagi manusia yang sentiasa berselisih di medan politik?"

Jika Malaysia mahu kembali dengan keadilan dan kesejahteraan hidup, maka kembalilah kepada al-Quran dan masjid. Selainnya adalah kepalsuan yang nyata. - HARAKAHDAILY 22/3/2016

Share on Myspace