Hari air sedunia: Di manakah kita selepas satu dekad?

PIARAPAKARAN S. | .

HARI Air Sedunia disambut setiap 22 Mac. Sambutan ini adalah bertujuan untuk menandakan kepentingan air kepada tamadun manusia dan alam sekitar. Ia adalah sebahagian daripada aktiviti Dekad untuk Air (2005 - 2015) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sambutan tahunan ini akan diteruskan, tetapi sejauh manakah pencapaian Malaysia selepas sedekad untuk air?

Kawasan Tadahan Air

Kegagalan untuk melindungi kawasan tadahan air telah mula menunjukkan kesannya dalam banyak negeri. Aktiviti pembalakan yang berleluasa dan penukaran guna-tanah memberikan kesan kepada jaminan air mentah. Penukaran guna-tanah dan air mentah adalah bidang kuasa kerajaan negeri.

Dengan peningkatan penduduk dan aktiviti ekonomi untuk menyokong pembangunan negara, kita perlu mendapatkan lebih banyak sumber air dan menebus kembali beberapa sumber air yang tercemar. Mengapa kita melakukan yang sebaliknya?

Dalam kaji selidik peringkat kebangsaan yang dijalankan oleh AWER (menggunakan kaedah persampelan Jabatan Perangkaan), 72.86% daripada rakyat Malaysia menyokong cadangan AWER untuk meminda kuasa kerajaan-kerajaan negeri ke atas sumber-sumber air dan meletakkannya di bawah Parlimen jika kerajaan-kerajaan negeri gagal untuk melindungi kawasan tadahan air.

Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia pasti akan menyokong langkah untuk mengelakkan krisis air dan tarif yang lebih tinggi yang boleh dikaitkan dengan kegagalan dalam melindungi kawasan tadahan air.

Berdasarkan masalah semasa yang berkaitan dengan sumber air dan kawasan tadahan air, jika referendum dilaksanakan, kerajaan negeri akan kehilangan kuasa ke atas sumber air. Adakah kita benar-benar perlu sampai ke tahap melaksanakan referendum untuk melindungi keperluan generasi masa depan kita?

Akhir-akhir ini, kawasan tadahan air nampaknya perlu memberi laluan kepada pembinaan lebuh raya. Tidak munasabah langsung! Membina lebih banyak lebuh raya tidak mengurangkan kesesakan lalu lintas tetapi memburukkan lagi keadaan.

Di negeri maju yang mengemis untuk lebih banyak air mentah dari negeri-negeri lain, membatalkan gazet kawasan tadahan air adalah tindakan membunuh diri. Semua negeri perlu melindungi lebih banyak kawasan sebagai kawasan tadahan air dan bukannya mengurangkan kawasan-kawasan tadahan air!

Kepadatan Penduduk dan Beban Pencemaran (Pollution Load)

Ambil dua gelas air. Dalam gelas pertama tambah 1 sudu garam setiap hari dan dalam gelas kedua tambahkan 1 sudu garam setiap jam. Gelas pertama mewakili sungai beberapa dekad yang lalu. Gelas kedua mewakili status semasa sungai kita.

Kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi akan menyebabkan beban pencemaran yang tinggi kepada sungai kita. Secara strategik, lebih banyak kemudahan pra-rawatan perlu dibangunkan untuk memastikan kualiti air sungai boleh diperbaiki dari semasa ke semasa.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu mengambil kira standard pelepasan air sisa berdasarkan faktor beban pencemaran. Jika sungai yang dibebankan dengan beban pencemaran yang lebih tinggi akibat daripada aktiviti-aktiviti manusia yang tinggi (termasuk industri dan komersial), standard pelepasan air sisa yang lebih ketat patut dikuat kuasakan.

Ini adalah disebabkan oleh ketidakupayaan sungai untuk mencairkan beban pencemaran. Perlindungan alam sekitar memerlukan anjakan paradigma. Kita perlu berhenti bersikap bertindak bila ada masalah (fire fighting) dan bergerak ke arah sikap pencegahan.

Jika JAS proaktif, episod Bauxite di Pahang tidak akan timbul. Adakah JAS telah menerbitkan kesan alam sekitar disebabkan oleh aktiviti bauksit di Pahang, termasuk pencemaran air bawah tanah, air permukaan, air laut serta flora dan fauna di kawasan yang terlibat? TPPA yang ditandatangani oleh Malaysia memerlukan JAS yang berpuluh kali ganda proaktif berbanding dengan apa yang ada sekarang!

Kelewatan Dalam Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (PSIPAN)

Isu-isu yang berkaitan dengan struktur industri, kecekapan kos, ketelusan, infrastruktur lama, air tidak terhasil (NRW) yang tinggi, kegagalan dalam penswastaan dan struktur tarif adalah sebab-sebab utama Kerajaan Persekutuan melaksanakan model Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) bagi Semenanjung Malaysia dan Labuan melalui pelaksanaan PSIPAN.

Tahniah kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) kerana meneruskan legasi melambatkan PSIPAN yang sepatutnya siap dalam Rancangan Malaysia ke-9. Banyak di antara langkah-langkah penting yang digariskan dalam PSIPAN kini ditangguhkan ke Rancangan Malaysia ke-11. Adakah kita perlu bersedia untuk penangguhan ke Rancangan Malaysia ke-12?

Kelewatan dalam PSIPAN mempunyai implikasi besar ke atas kewangan dan operasi industri perkhidmatan air kita. Industri perkhidmatan air termasuk perawatan air, bekalan air dan perkhidmatan pembetungan. Anda perlu berjaga-jaga kerana semua kos tambahan yang disebabkan oleh kelewatan akan disalurkan kepada tarif air. Ya, pengguna perlu membayar untuk kos kelewatan ini!

Perancangan bagi Musim Banjir dan Panas

Respon-respon ad hoc semasa musim banjir dan panas kini menjadi lebih kerap. Penyelesaian masalah banjir adalah mudah; jika anda menghancurkan fungsi alam sekitar anda mesti menirunya dengan penyelesaian teknologi buatan manusia.

Jika projek perumahan memerlukan kolam takungan banjir, mengapakah kita perlu "menutup sebelah mata" untuk sektor perladangan? Sehingga kini, tidak ada analisis penuh kepada projek-projek tebatan banjir dan keberkesanannya. Ini termasuk berapa banyak projek-projek ini gagal kerana perubahan guna-tanah oleh kerajaan negeri?

Tamadun purba membina empangan dan sistem saliran serta melindungi sumber air mereka. Adakah kita begitu sesat walaupun mempunyai pelbagai teknologi terkini di tangan kita untuk melakukan perkara yang betul?

Adakah kita perlu membuat rombakan modal insan secara besar-besaran? Terdapat banyak penyelesaian sedia ada bermula daripada perlindungan kawasan tadahan air serta penggunaan efluen terawat (perkhidmatan kumbahan) untuk menguruskan permintaan air. Adakah isu-isu ini akan terus menghantui Malaysia selepas beberapa dekad? Beberapa penyelesaian telahpun dikemukakan, tetapi jawapan kepada masalah-masalah ini masih ad-hoc.

Air dan Pekerjaan

Tema Hari Air Sedunia tahun ini adalah Air dan Pekerjaan. Semua aktiviti ekonomi adalah bergantung kepada air secara langsung atau tidak langsung. Jika kita gagal untuk memenuhi keperluan air kita, kesannya adalah teruk. Ini termasuk kehilangan pekerjaan!

Catuan air Lembah Klang pada 2014 sepatutnya telah memberikan gambaran tentang bagaimana air memberi kesan kepada kehidupan seharian kita. Kelantan yang telah teruk dilanda banjir pada akhir 2014 dan kekurangan air terawat juga menunjukkan kepada kita kepentingan air semasa krisis.

Setiap langkah yang kita ambil sekarang adalah blok bangunan untuk masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang. Bak kata orang Melayu, "Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian".

Dalam malapetaka semula jadi, alam sekitar akan sentiasa wujud kerana ia telah berjaya mengharungi banyak bencana sebegitu. Malangnya, penghuninya yang akan hilang. – HARAKAHDAILY 22/3/2016

Penulis ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Share on Myspace