Rasuah cemar integriti penjawat awam

NASRUDIN HASSAN | .

KES rasuah RM100 juta yang dibongkarkan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini telah mencemar integriti penjawat awam.

Bagaimana jumlah yang terlalu besar terlepas daripada pemeriksaan pegawai audit kementerian dan Jabatan Audit Negara? Isu ini telah menimbulkan pelbagai persoalan terhadap keberkesanan perbelanjaan keseluruhan dana awam yang diperuntukkan kepada kerajaan setiap tahun.

Sebenarnya, isu tersebut adalah kemuncak kepada ketirisan dan penyelewengan dana awam di negara ini. Hampir setiap tahun Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) telah mendedahkan salah guna dana awam sama ada perbelanjaan yang tidak relevan (inflated price), ketidakpatuhan dalam prosedur perolehan dan perjalanan projek yang tidak mengikut spesifikasi.

Namun, semua pembongkaran korupsi tersebut masih tidak mampu mengekang kezaliman yang berlaku.

Sebagai contoh, dalam LKAN 2012 telah merekodkan transaksi pembelian jam dinding yang bernilai RM3,810, walhal harganya hanya RM100 di pasaran. Jumlah ketirisan secara keseluruhan yang dimaklumkan dalam LKAN 2012 berjumlah kira-kira RM 3.5 bilion.

Begitu juga LKAN 2013 yang mendedahkan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM telah membayar sejumlah RM11.94 juta kepada 3,786 pesara tentera yang telah meninggal dunia. Menurut Menteri Kewangan Kedua, jumlah ketirisan dianggarkan berjumlah RM1.5 bilion pada tahun 2013.

Adakah kita mahu ia terus berulang? Jika LKAN ini menjadi indikator terhadap parameter korupsi di sektor kerajaan, ia hanya meliputi 5 peratus daripada keseluruhan transaksi dan dibuat secara rawak.

Oleh itu, bagaimana untuk memastikan ketirisan, penyelewengan, rasuah, korupsi dan kronisme tidak akan berlaku lagi? Rakyat menuntut agar satu reformasi dilakukan secara serius supaya kezaliman ini mesti dihentikan.

Jumlah ketirisan ini boleh menampung pembiayaan biasiswa yang disekat oleh kerajaan, mengurangkan kadar tol dan tambang pengangkutan awam, serta menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Rakyat tidak redha jika penyelewengan ini terus dilakukan dan pada masa yang lama lebih ramai rakyat yang menderita akibat tanggungan kos sara diri yang terlalu tinggi. – HARAKAHDAILY 22/3/2016

Share on Myspace