Siasat menyeluruh seleweng dana KBS RM100 juta

HARAKAHDAILY | .

DACS Selangor melahirkan rasa kecewa dengan isu penyelewengan dana kerajaan mencecah lebih 100 juta yang berlaku di dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Khairy Jamaludin Abu Bakar selaku Menteri Belia dan Sukan telah mengesahkan bahawa pegawai kanan di bawah kementeriannya telah disoal siasat oleh SPRM beberapa minggu yang lalu dan disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dana kerajaan.

Pegawai kanan tersebut menurut Khairy telah lama melakukan perbuatan terbabit yang tidak memerlukan lampu hijau Menteri atau Ketua Setiausaha untuk meluluskan sesuatu projek.

DACS Selangor memuji tindakan segera pihak SPRM menyiasat penyelewengan dana yang berlaku di dalam Kementerian Belia dan Sukan ini serta keterbukaan Khairy membuka ruang seluas-luasnya kepada SPRM untuk menyiasat tanpa gangguan, tidak seperti dalam kes-kes sebelum ini yang mana SPRM sering kali diganggu oleh pihak-pihak tertentu.

Walaupun masih dalam peringkat siasatan oleh pihak SPRM tetapi ia telah memberi gambaran buruk terhadap kementerian yang menguruskan hal ehwal sukan di dalam negara ini berdasarkan hasil dapatan siasatan SPRM yang telah menyita beberapa barangan mewah termasuk 12 kenderaan antaranya Audi, Mercedes Benz, Nissan GTR dan Toyota Vellfire.

Antara barang mewah lain ialah jam berjenama Richard Mille (RM400,000), 40 beg tangan berjenama termasuk jenama Hermes (RM400,000), set cadar mewah (RM300,000), dan barang kemas termasuk cincin mutiara Cartier bernilai RM600,000.

Barangan yang disita berjumlah RM20 juta, sementara wang di dalam 69 akaun bank berjumlah RM8.33 juta dibekukan.

Ia ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah kita semua maklum bahawa pencapaian sukan negara kita tidaklah begitu hebat berbanding negara lain, kini individu yang menguruskan sukan pula terpalit dengan pelbagai skandal salah guna kuasa, rasuah dan lain-lain lagi.

Sampai bila sukan kita hendak maju jika perkara seperti ini pun masih lagi teruk. Individu yang menguruskan sukan ini sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh memartabatkan sukan kita ke peringkat dunia bukannya mengambil kesempatan di atas dana kerajaan berikan. Ibarat harapkan pegar, pegar makan padi. Sedih melihat apa yang berlaku kini.

Justeru itu, DACS Selangor mendesak agar siasatan lebih menyeluruh dilakukan oleh pihak SPRM supaya jangan ada seorang pun yang terlepas daripada perbuatan terkutuk ini. Benarlah sabda nabi Muhammad (SAW), "Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran itu."

MUHAMMAD FADZLI BIN ABU BAKAR
Pengarah,
Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Selangor.
Dewan Pemuda PAS Selangor. – HARAKAHDAILY 22/3/2016

Share on Myspace