CAP gesa singkirkan plumbum dalam cat

SM MOHAMED IDRIS | .

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya menyingkirkan plumbum dalam cat. Ini kerana dalam ujian terbaharu, kami mendapati lebih 60% sampel cat yang diuji mengandungi plumbum pada paras yang tinggi.

Dalam satu ujian yang dilakukan oleh CAP dan IPEN (International POPS Elimination Network), 39 tin cat dekorasi enamel berasaskan pelarut telah dibeli dari beberapa kedai di sekitar Pulau Pinang dan Kedah. Cat-cat itu terdiri daripada 18 jenama berbeza yang dihasilkan oleh 17 pengeluar. Sampel-sampel cat ini kemudian dianalisis oleh sebuah makmal berwibawa di Amerika Syarikat untuk mengenal pasti kandungan plumbum di dalamnya.

Di antara penemuan yang dibuat termasuklah:

- Enam belas daripada 39 cat dekorasi enamel mengandungi  plumbum melebihi 600 bps (bahagian persejuta). Dua belas sampel mengandungi plumbum pada kadar tinggi dan berbahaya yang melebihi 10,000 bps. Kadar plumbum tertinggi yang dikesan ialah 150,000 bps.

- Sebelas daripada 18 jenama menjual sekurang-kurangnya satu jenis cat yang mengandungi kadar plumbum melebihi 10,000 bps.  Ini termasuk jenama cat syarikat-syarikat multinasional.

- Cat kuning didapati paling beracun di mana 12 daripada 19 sampel cat tersebut mengandungi kadar plumbum melebihi 10,000 bps.  Kajian ini turut termasuk 12 sampel cat merah dan lapan cat putih.

Pada amnya, label tin cat tidak memberi sebarang maklumat yang berguna mengenai kandungan plumbum ataupun mengenai bahaya cat yang tinggi kandungan plumbumnya. Malah iklan sesetengah cat dengan kadar plumbum yang tinggi mendakwanya sebagai “rendah plumbum”.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggap cat yang mengandungi plumbum berpotensi menyebabkan kanak-kanak mengalami keracunan plumbum. Menurutnya sejak petrol berplumbum dikeluarkan secara berperingkat-peringkat, cat berplumbum menjadi salah satu sumber terbesar pendedahan kanak-kanak kepada plumbum. Kanak-kanak terdedah kepada plumbum apabila bahagian yang bercat tertanggal selepas beberapa lama dan mencemari habuk serta tanah di rumah. Kanak-kanak yang berusia 0-6 tahun, yang sering memasukkan tangan ke dalam mulut, paling berisiko terjejas perkembangan daya kepintaran dan mental mereka akibat terdedah kepada habuk dan tanah yang dicemari plumbum.

Kesan pendedahan plumbum kepada otak kanak-kanak adalah sepanjang hayat, sukar dipulihkan dan sukar diubati. Plumbum juga memasuki saluran gastrousus apabila kanak-kanak mengunyah mainan, perabot di dalam rumah, atau benda-benda lain yang dicat dengan plumbum. Penggunaan cat berplumbum secara berterusan menjadi sumber utama pendedahan plumbum kepada kanak-kanak. Sehubungan itu, langkah segera perlu diambil untuk mengurangkan pendedahan tersebut.

Sementara itu dalam kajian terdahulu pada 1992, CAP telah menemui tujuh daripada sembilan cat enamel mengandungi plumbum melebihi 600 bps. Dalam kajian tersebut, kandungan tertinggi plumbum cuma 11,700 bps.

Dalam satu lagi kajian terdahulu mengenai kandungan plumbum di Malaysia, 72 cat enamel yang dibeli antara 2004-2007 telah dianalisis  bagi kandungan plumbum di dalamnya. Hasil ujian tersebut menyamai kajian terbaharu yang dijalankan.

Sehingga kini belum ada undang-undang di Malaysia yang mengehadkan kandungan plumbum di dalam cat untuk kegunaan di rumah dan untuk tujuan hiasan. Negara-negara perindustrian telah melaksanakan undang-undang atau peraturan untuk mengawal kandungan plumbum di dalam cat.

Kajian kali ini juga mendapati sesetengah syarikat memalsukan produk mereka di dalam iklan dengan mendakwa ia “bebas plumbum” atau “tidak mengandungi plumbum tambahan”. Penguatkuasaan yang lebih tegas diperlukan untuk mengambil tindakan terhadap pencabulan  undang-undang yang mengelirukan pengguna ini.

Sehubungan dengan penemuan terbaharu kami, CAP menggesa pihak berkuasa  agar:

- Membentuk undang-undang untuk menyingkirkan plumbum dalam cat

- Menguatkuasakan dengan tegas Akta Perihal Dagangan berikutan terdapat beberapa syarikat pengeluar cat yang diketahui secara terang-terangan mencabuli Akta sedia ada.

Memandangkan plumbum boleh memudaratkan kanak-kanak, langkah segera diperlukan untuk melindungi generasi akan datang. - HARAKAHDAILY 22/3/2016

Penulis ialah Presiden CAP.

Share on Myspace