Siapa sebenarnya tidak kenang budi?

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

IPOH: DAP sepatutnya mengenang dan menghargai jasa PAS yang membuka ruang undi orang Melayu kepada DAP dalam PRU lepas.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, DAP terlalu gelojoh dan ghairah menentukan perjuangan serta hala tuju PAS.

Jelasnya, sebagai sebuah parti berprinsip, PAS memutuskan hubungan dengan DAP kerana tidak menghormati pendirian PAS, bahkan memburukkan PAS kepada masyarakat.

Razman mengingatkan, sebelum mempersoalkan mengenai jasa dan budi, DAP selayaknya mengetahui bagaimana pengorbanan ahli-ahli PAS yang turut sama membantu kemenangan DAP.

"DAP tidak boleh menolak sejarah kerana kejatuhan Kerajaan Perak yang bertahan selama 11 bulan adalah berpunca daripada Adun dari PKR dan DAP yang melompat parti.

"PAS boleh bertahan walaupun hanya dengan 1 kerusi kerana matlamat PAS tidak hanya tertumpu kepada pilihan raya semata-mata, namun merangkumi dakwah dan tarbiyah.

"PRU akan datang, PAS Perak akan memastikan calon yang lebih berpegang teguh dengan prinsip dan sedia memperjuangkan matlamat parti," ujar beliau.

Beliau mengharapkan semua ahli PAS agar terus fokus kepada gerak kerja persediaan sebelum menjelang PRU akan datang. – HARAKAHDAILY 22/3/2016

Share on Myspace