Blok ketiga adalah pembesar suara rakyat

HARAKAHDAILY | .

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menjangkakan lebih banyak parti-parti, badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan tokoh-tokoh perseorangan akan menyertai blok politik baru yang diusahakan oleh PAS dan IKATAN.

Penyertaan kumpulan-kumpulan tersebut akan menjadikan blok ini 'berdiri sama tinggi, duduk sama rendah' dengan blok-blok yang lain, malah berkemungkinan ia akan menjadi lebih besar.

Pembentukan Blok Ketiga ini, biarpun dipandang sinis oleh pihak-pihak tertentu, diyakini akan menjadi 'pembesar suara' kepada parti-parti kecil, NGOs dan tokoh-tokoh perseorangan.

Sebelum ini, suara kumpulan-kumpulan dan tokoh-tokoh ini yang mewakili pelbagai latar belakang masyarakat tidak begitu didengari disebab jangkauan mereka yang begitu terbatas.

Dengan wujudnya Blok Ketiga suara mereka akan menjadi bergema dan sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat yang diwakili.

PPP melihat selepas PRU ke-13 tahun 2013, muncul banyak parti-parti kecil yang mewakili pelbagai segmen masyarakat.

Terdapat parti yang mewakili segmen suku kaum seperti Parti Keadilan India Malaysia (MIJP), Parti Bersatu Bugis Sabah dan Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru).

Terdapat pula parti-parti yang membawa citarasa baru rakyat seperti Parti Generasi Baru (NewGen Party) dan Parti Nasional Penduduk Malaysia. Dianggarkan tidak kurang dari 20 parti baru telah didaftarkan sejak 2013.

NGOs dan tokoh-tokoh perseorangan di Malaysia juga semakin mempunyai pengaruh yang cukup besar untuk mencorakkan landskap politik Malaysia.

Meskipun NGOs dan tokoh-tokoh perseorangan tidak menyertai politik secara langsung, tetapi suara mereka mula bergema sehingga memungkinkan ia merubah corak dan budaya politik dalam negara ini.

Contoh yang paling menonjol hari ini ialah gabungan ratusan NGOs dan puluhan tokoh-tokoh perseorangan di bawah Kongres Rakyat yang tampil memperjuangkan isu-isu nasional seperti TPPA dan DLP.

PPP melihat keterbukaan PAS untuk duduk semeja dengan mana-mana kumpulan dan tokoh yang mewakili pelbagai latar belakang masyarakat adalah satu usaha untuk mengangkat suara mereka di peringkat Nasional.

Kemunculan kumpulan-kumpulan ini, mungkin dianggap sifar oleh sesetengah pihak, tetapi apabila suara-suara mereka digabungkan ia akan bergema.

Blok-blok politik yang angkuh perlu diingatkan keangkuhan mereka boleh sahaja diranapkan oleh kuasa sifar, kerana sebarang angka yang didarabkan dengan sifar akan menjadi sifar pula.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS
22 Mac 2016 / 13 Jamadilakhir 1437 - HARAKAHDAILY 22/3/2016

Share on Myspace