Pulihkan Sungai Pahang bela nasib nelayan sungai

NASRUDIN HASSAN | .

Terdahulu saya ucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah meluluskan peruntukan RM56 juta bagi memastikan pemulihan Sungai Semantan dan Sungai Pahang di daerah Temerloh yang mengalami perubahan struktur yang teruk terutama kesan daripada lombong pasir, banjir besar, kemarau panjang dan sebagainya.

Lampiran: Jawapan Menteri dirujuk:
https://youtu.be/j0mTOPndbmw

Saya telah bangkitkan isu ini beberapa kali ke Parlimen dan kali ini kerajaan memberi maklum balas yang sangat positif untuk menangani isu hakisan Sungai Semantan dan pencemaran Sungai Pahang.

Mudah-mudahan ia bukan sahaja memberi pulangan kepada kerajaan melalui pemulihan alam sekitar tetapi juga turut membantu dan meningkatkan ekonomi nelayan sungai selepas ini.

Sungguhpun begitu, saya harap peruntukkan yang telah diluluskan tidak alami ketirisan atau salah masuk poket, sebaliknya mestilah 100 peratus dicurah ke tempat yang sewajarnya untuk memulihkan Sungai Semantan dan Sungai Pahang tersebut.

Rakyat Temerloh pastinya akan memantau agar peruntukan itu dimanfaatkan selurus mungkin tanpa sebarang lencongan apalagi penyelewengan.

Sekian lama nelayan sungai di Temerloh dan sepanjang Sungai Pahang terpaksa bergelut untuk mendapatkan hasil kehidupan sedang usaha pencarian mereka hanya di Sungai Pahang.

Saya juga mengharapkan agar kerajaan memantau segala aktiviti yang boleh merosakkan Sungai Pahang seperti hakisan tebing dan limpahan lumpur ekoran penebangan balak, perlombongan pasir di samping mengusahakan pemeliharaan tebing sungai dan tahap kedalaman sungai tersebut.

Tidak ketinggalan saya turut mengharapkan agar kerajaan menyediakan itensif buat nelayan sungai yang mengalami kerugian teruk ekoran kemarau teruk sejak 3 bulan yang lalu sehingga menjejaskan penternakan ikan patin dan tilapia di Temerloh. - HARAKAHDAILY 22/3/2016

Penulis ialah Ahli Parlimen Temerloh.

Share on Myspace