Pemuda PAS sokong tubuh kaukus parlimen hapus judi

HARAKAHDAILY | .

Isu perjudian menjadi perhatian utama perbincangan dalam sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Dalam sesi tersebut, Datuk Seri Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri juga menyatakan bahawa Negeri Kelantan seharusnya menjadi contoh dalam menghapuskan segala bentuk perjudian di negeri tersebut.

Langkah itu dikuatkuasakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1992 di bawah pemerintahan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan legasi itu diteruskan sehingga kini.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong pendirian kerajaan untuk menubuhkan sebuah kaukus parlimen bagi meneliti dan menghapuskan segala amalan perjudian yang berlaku dalam negara.

Cadangan itu dibangkitkan oleh Datuk Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Kota Bharu yang juga merupakan Setiausaha Agung PAS.

Langkah tersebut begitu signifikan bagi memastikan suatu penelitian yang mendalam dilakukan terhadap setiap sudut amalan perjudian yang berlaku dalam negara seterusnya memastikan Malaysia bersih dari amalan perjudian yang telah terbukti meruntuhkan keharmonian kekeluargaan dan sistem sosial masyarakat.

DPPM juga menggesa agar kaukus yang dibentuk meneliti aspek pendidikan dan perundangan sebagai pelengkap kepada langkah menghapuskan amalan perjudian di samping memupuk nilai kefahaman agama yang sebenar kepada masyarakat keseluruhannya.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia | Ahli Parlimen Pasir Mas
23 Mac 2016 | 14 Jamadil Akhir 1437 - HARAKAHDAILY 23/3/2016

Share on Myspace