PAS kerjasama NGO kemuka Manifesto Untuk Rakyat

JOFRI JARAIEE | .

PAS menerima baik cadangan 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk kemukakan Manifesto Untuk Rakyat seperti yang dilaporkan dalam media tempatan baru-baru ini.

Antara NGO yang bergabung mengemukakan manifesto itu ialah Save Rivers, Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS), Borneo Resources Institute Malaysia (BRIMAS) dan Jaringan Tanah Hak Adat Asal Sarawak (TAHABAS).

Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA), Non-Timber Forest Product Malaysia (NTFP), Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS), Gerakan Dayak Sarawak (GASAK) dan Integrated Development for Eco-Friendly and Appropriate Lifestyle (IDEAL).

PAS Sarawak bersedia bekerjasama dengan 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini yang ingin mengemukakan Manifesto Untuk Rakyat (MUR) kepada pihak pemerintah.

Kebanyakan isu-isu seperti kos sara hidup rakyat, tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), isu demokrasi dan sebagainya memang antara isu yang diperjuangkan PAS selama ini.

PAS sentiasa terbuka dan bersedia bekerjsama dengan NGO-NGO yang memperjuangkan nasib rakyat. PAS akan berjumpa dengan pihak yang berkenaan sekiranya mereka memerlukan MUR mereka diketengahkan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

PAS Sarawak akan bekerjasama dengan NGO berkenaan untuk membuktikan yang PAS memang berjuang untuk semua kaum selama ini tanpa mengira bangsa dan agama.

Dengan kerjasama ini nanti pasti akan membuahkan hasil yang baik untuk rakyat yang berbilang etnik di negara ini terutama di Sarawak.

PAS menanti pelawaan semua NGO yang bersedia bekerjasama untuk kepentingan semua rakyat Sarawak.

Dengan adanya kerjasama ini akan membolehkan semua pihak dapat mengemukakan masalah rakyat kepada pihak pemerintah dengan lebih berkesan lagi. - HARAKAHDAILY 23/3/2016

Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Sarawak.

Share on Myspace