Kerajaan Kelantan digugat dengan isu Lamboghini (1992)

HARAKAHDAILY | .

KERAJAAN PAS KELANTAN DIGUGAT DENGAN ISU LAMBORGHINI SULTAN KELANTAN (23 MAC 1992)

PADA hari ini dalam tahun 1992, usaha menggugat Kerajaan PAS Kelantan telah melalui tahap yang lebih mencabar apabila berita tentang kereta Lamboghini Daiblo 'dilarikan' oleh Sultan Kelantan didedahkan kepada umum.

Isu kereta Lamboghini ini telah berbangkit kerana permusuhan Umno dengan Istana Kelantan yang menyebabkan baginda Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra bertindak membawa keluar kereta tersebut dari Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Subang pada 19 Mac 1992, tetapi mula disensasikan pada 23 Mac 1992.

Serangan peribadi terhadap Sultan Kelantan ini berkait rapat usaha Umno menggugat Kerajaan PAS Kelantan yang dituduh oleh mereka menang kerana campur tangan Sultan Kelantan dalam politik kepartian.

Isu Lamborghini ini bermula apabila Sultan Kelantan bertitah kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan dalam bulan November 1991 tentang hasrat baginda untuk membeli kereta tersebut dari Itali dengan wang baginda sendiri dengan dikecualikan cukai import.

Pada 2 Mac 1992, ketika kereta tersebut telah tiba di Subang, Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengarah Kastam enggan membenarkan kereta tersebut dikeluarkan dari Kompleks Kargo sehingga Sultan Kelantan membayar duti import yang dianggarkan bernilai RM2.6 juta.

Usaha Sultan Kelantan untuk berunding dengan pihak kastam dan Menteri Kewangan telah gagal sehingga 16 Mac 1992, yang menyebabkan baginda bertindak pada 19 Mac 1992 untuk mengambil sendiri kereta tersebut di Kompleks Kargo Subang itu.

Isu Sultan Kelantan dimainkan oleh Umno sejak akhir 1990 apabila mereka tewas dalam Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990 yang didakwa berpunca dari pergeseran Sultan Kelantan dengan Umno dan hubungan rapat baginda dengan pakatan PAS-APU.

Pada 1 Disember 1990, Perhimpunan Agung Umno telah meluluskan usul untuk menyekat Raja-raja Melayu dari terlibat dalam politik, yang diikuti oleh siri-siri penghinaan terhadap Sultan Kelantan seperti perhimpunan haram di hadapan Bangunan Umno Kelantan diketuai Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ibrahim Ali yang diikuti pula oleh kenyataan Ketua Penerangan Umno Kelantan, Che Alwi Che Ahmad yang menuduh Sultan Kelantan berpolitik.

Far Eastern Economic Review pada 28 November 1991 melaporkan serangan Umno terhadap Sultan Kelantan dan Raja-raja Melayu secara terbuka di media.

Untuk melegitimasikan tindakan Umno terhadap Sultan Kelantan dalam usaha mereka menggugat Kerajaan PAS Kelantan ini, maka isu kereta Lamboghini ini menjadi senjata terbaik Umno.

Walaupun isu ini pada asalnya hanyalah isu pentadbiran antara Istana Kelantan dengan Kerajaan PAS Kelantan dan Menteri Kewangan, tetapi pada 23 Mac 1992, rakyat Kelantan dikejutkan oleh pendedahan kepada media kononnya Sultan Kelantan telah 'melarikan' kereta tersebut tanpa membayar cukai.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 24 Mac 1992 ketika mengulas isu ini menyifatkan ia adalah satu penganiayaan terhadap Sultan Kelantan sekali gus memalukan Kerajaan PAS Kelantan, sedangkan sejak 2 hingga 21 Mac 1992 Kerajaan Kelantan telah berusaha untuk berunding dengan Menteri Kewangan, tetapi ia tidak dilayan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
23 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 23/3/2016

Share on Myspace