Inikah Islam, inikah Haji Hadi? - Kadir

SALMIYAH HARUN | .

Abdul Hadi dan Abdul Kadir pada majlis PAS-Ikatan di Pejabat Agung PAS.

KUALA LUMPUR: Mengenali sosok tubuh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sejak 2012, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menyifatkan Presiden PAS itu seorang yang sangat luar biasa.

Bercakap di dalam program bedah buku 'Prinsip Haji Hadi - Teguh dan Tidak Lari Dari Perjuangan' di MyHarakah Bazaar hari ini, beliau mengagumi ucapan Ahli Parlimen Marang itu yang memberi pandangan sebenarnya tentang agama Islam tidak kira kepada sesiapa sahaja.

"Ucapannya adalah Islam yang sebenarnya. Islam menghormati agama lain dan budaya lain. Siapa yang bukan Islam dengar ucapannya akan terpegun 'inikah Islam? Inikah Haji Hadi?'

"Sayang bahawa rakyat tidak tahu siapa Haji Hadi dan apa itu Islam," katanya.

Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) itu mengakui mula mengenali Abdul Hadi selepas beliau keluar daripada Umno pada tahun 2012.

Pada waktu itu, beliau hanya melihat Abdul Hadi dari jauh dan menganggap agak ekstrem dengan penampilan berjubah yang sangat popular di dalam PAS.

"Memang saya anggap beliau ekstrem. Tetapi selepas saya keluar Umno orang PAS menjemput saya merata-rata, akhirnya bagi saya politik Umno dan PAS tidak ada bezanya," kata beliau.

Turut menjadi panel adalah Presiden Kelab Veteran Utusan Melayu Malaysia (KVUM) selaku Pengerusi BYG Publisher & Distributors Datuk Raja Ahmad Niza Raja Ismail. Manakala moderatornya AJK PAS Pusat Dr Riduan  Mohamd Nor.

Buku ini  ditulis oleh mantan Ketua Pengarang Warta Darul Iman Mohamed Jusoh dan diterbitkan oleh BYG Publisher & Distributors telah menzahirkan fenomena gagasan dan prinsip yang kental, ada pada Abdul Hadi yang terus memimpin sebuah parti Islam tunjang di Malaysia iaitu PAS.

Menarik di dalam buku ini yang mempunyai 280 halaman, penulis menggariskan beberapa fenomena dengan penjelasan mengenai sebuah tempat yang dikenali sebagai Rusila iaitu sebuah kampung yang senonim dengan Tuan Guru Abdul Hadi.

Di situlah beliau bertapak dalam mengembangkan ilmu-ilmu agama yang sebati di dalam dirinya. - HARAKAHDAILY 23/3/2016

Share on Myspace