Sejarah: Asri bawa serpihan PAS tubuh Hamim

HARAKAHDAILY | .

DATO' ASRI BAWA SERPIHAN PAS TUBUHKAN HAMIM (24 MAC 1983)

PADA hari ini dalam tahun 1983, bekas Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah membawa penyokong-penyokongnya untuk menubuhkan parti serpihan PAS, Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM).

Pergolakan politik dalaman PAS telah sampai ke kemuncak apabila Dato' Mohd Asri meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung PAS dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 pada 23 Oktober 1982.

Ekoran itu, para penyokong Dato' Mohd Asri yang diketuai oleh Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad (Dato' Nik Man) telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bertindak yang bertujuan untuk membawa Dato' Mohd Asri kembali memimpin PAS. Walau bagaimanapun, jawatankuasa ini telah bertindak mengadakan perhimpunan-perhimpunan yang menentang PAS, termasuk menganjurkan fitnah bahawa PAS dikuasai oleh elemen Syiah kesan dari Revolusi Iran.

Berlanjutan dari tindakan para penyokong Dato' Mohd Asri ini, pada 6 Januari 1983, PAS Kelantan telah membuat aduan tatatertib terhadap sekumpulan bekas pemimpin PAS yang menyebabkan Jawatankuasa Tatatertib PAS pada 23 Januari 1983 telah mengambil tindakan terhadap 13 bekas pemimpin PAS termasuk Dato' Mohd Asri yang digantung keahlian.

Pada 31 Januari 1983, Dato' Sudin Wahab dan Dato' Abu Bakar Umar bersama 13 bekas pemimpin PAS tersebut telah mengadakan mesyuarat di Kota Bharu yang kemudiannya menubuhkan sebuah lagi Jawatankuasa Bertindak yang dipimpin oleh Dato' Mohd Asri.

Jawatankuasa Bertindak pimpinan Dato' Mohd Asri ini telah memutuskan bahawa mereka tidak akan mengemukakan rayuan terhadap tindakan tatatertib itu, sebaliknya akan menubuhkan sebuah lagi Jawatankuasa Bertindak yang serupa di Kedah dan Perlis.

Tindakan ini menyebabkan PAS Pusat pada 16 Februari 1983 mengeluarkan ancaman untuk memecat keahlian Dato' Mohd Asri dan 10 penyokongnya, sedangkan Jawatankuasa Bertindak Kedah dan Perlis cuba menjadi pendamai antara PAS dan Kumpulan Dato' Mohd Asri.

Pada 22 Februari 1983, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri telah mempertegaskan pendirian PAS bahawa semua Jawatankuasa Bertindak adalah jawatankuasa haram dan mengarahkan semua pimpinan dan ahli PAS supaya jangan terlibat.

Dato' Mohd Asri sebaliknya pada 23 Februari 1983 telah mengumumkan keluar dari PAS yang diikuti oleh para penyokongnya.

Sebulan kemudian, pada 24 Mac 1983, Dato' Mohd Asri telah mengumumkan penubuhan parti Islam yang baru, HAMIM yang menyebabkan PAS kehilangan empat daripada lima kerusi Parlimen apabila Dato' Abu Bakar Umar (Kota Setar), Mohd Zain Abdullah (Bachok), Wan Ibrahim Wan Abdullah (Pasir Mas) dan Haji Hassan Mohamad (Rantau Panjang) menyertai parti tersebut.

Pada 9 Jun 1983, pendaftaran HAMIM telah diluluskan dan dalam Mesyuarat Agung Khas HAMIM pada 2 Julai 1983, Dato' Mohd Asri dipilih secara sebagai Yang Dipertua Agung HAMIM, manakala Ahmad Shukri Abdul Shukur sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung, Wan Ismail Ibrahim dan Ustaz Abdul Wahab Yunus sebagai Naib-naib Yang Dipertua Agung.

HAMIM yang menyertai BN pada 1985 dengan bantahan Berjasa telah diberi dua kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN dalam Pilihan Raya Umum 1986 dan berjaya memenangi kerusi Parlimen Bachok dan dua DUN di Chetok dan Meranti.

Namun bagitu, pada 17 November 1988, Dato' Mohd Asri telah meletakkan jawatan dan cuba membubarkan HAMIM tetapi gagal.

Ekoran itu, Dato' Mohd Asri telah menyertai Umno pada 22 November 1988 dan Ustaz Abdul Wahab Yunus yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung HAMIM tewas kepada Dato' Sudin Wahab pada 1989 yang menyebabkan Ustaz Abdul Wahab menubuhkan pula serpihan HAMIM, Parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan). Sedangkan Dato' Sudin Wahab membawa HAMIM bekerjasama dengan PAS dan Berjasa melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Pada 1999, Parti Ikatan telah diambil alih oleh penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk Parti Keadilan Nasional (PKN).

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
24 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 24/3/2016

Share on Myspace