Selangor ambil langkah mitigasi awal, tiada catuan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor yakin tiada catuan bekalan air sehingga hujung tahun ini berikutan rizab air positif dan beberapa langkah mitigasi awal yang diambil.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib, berkata sehingga hari ini bekalan air di empangan khususnya empangan Sungai Selangor berada pada tahap memuaskan.

“Sehingga hari ini, empangan Sungai Selangor yang membekalkan 60 peratus sumber air kepada penduduk Lembah Klang masih berada di 83.10 peratus.

“Begitu juga dengan beberapa empangan lain. Berbanding negeri lain, Selangor berada di keadaan selesa. Kita yakin dapat mengharungi kemungkinan musim panas sehingga hujung tahun ini,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Pasar Agro Smart Selangor, Gombak Setia, semalam.

Zaidy turut menasihatkan penternak dan petani terkesan akibat fenomena panas luar biasa ketika ini supaya sentiasa positif.

“Dengan keadaan cuaca mencecah 40 darjah celcius ini sudah pasti hasil ternakan mahupun pertanian akan terjejas. Namun, kerajaan negeri sentiasa melaksanakan langkah terbaik untuk atasi musim panas ini.

“Sehingga kini, setiap hari kita masih melakukan proses pembenihan awan bermula awal tahun lalu dalam mengatasi fenomena luar biasa ini,” katanya.

Share on Myspace