Tiada hujan di hulu Kelantan lebih sebulan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kawasan hulu Kelantan sehingga kini tidak menerima hujan lebih 30 hari sehingga memberi kesan kepada paras air Sungai Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Kelantan Datuk Hanifa Ahmad berkata keadaan itu menyebabkan berlaku penurunan bekalan air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah Tanah Merah.

Katanya ketiadaan hujan di kawasan hulu menyebabkan paras air di muka sauk LRA Bukit Remah menurun secara mendadak.

“Berdasarkan rekod terdahulu sekiranya ketiadaan hujan dalam masa dua minggu ia akan memberi kesan kepada keupayaan bekalan air,” katanya pada satu kenyataan di sini.

Oleh itu beliau berharap orang ramai menggunakan air secara berhemah bagi membolehkan aktiviti harian berjalan lancar.

Sementara itu Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) melaksanakan beberapa langkah awal termasuk mencuci muka sauk supaya tiada halangan bagi membolehkan air sungai mengalir masuk.

AKSB juga akan bersiap sedia menggerakkan lori tangki bagi mengagih air ke kawasan terpencil terutamanya di Tanah Merah. Selain itu kemungkinan menjalankan catuan bekalan air.

Orang ramai juga boleh mendapat maklumat semasa dengan menghubungi Pusat Informasi dan Talian Info AKSB iaitu PINTAS 1 300  88 2572. - HARAKAHDAILY 24/3/2016

Share on Myspace