Penduduk dakwa pemimpin teroka tanah kerajaan

ASLANI M | .

TANAH MERAH: Agak mengejutkan bagi penduduk di Kampung Peralla apabila sebahagian Bukit Kelantan di Gual Ipoh bertukar dari hutan belantara kepada kebun getah.

Dianggarkan kawasan seluas 40 ekar hutan dibersihkan kira-kira tiga tahun lepas, dan kini pokok getah yang ditanam semakin membesar.

Seorang penduduk Adnan Junoh, 58 (kiri) mendakwa bukit tersebut disedari dibersihkan pihak tertentu selepas pilihan raya umum 2013.

“Saya difahamkan pemilik kebun tersebut seorang pemimpin politik pembangkang di Kelantan. Pekerja yang menjaga kebun tersebut memberitahu kebun tersebut diusahakan pemimpin politik berkenaan,” katanya di sini.

Kawasan yang diteroka tersebut difahamkan tanah kerajaan, boleh dilihat dengan agak jelas dari jalan raya di hadapan rumah Adnan.

Kedudukan kawasan yang diteroka itu kira-kira empat km dari jalan utama.

Lokasi yang ditanam getah tersebut kelihatan agak berbeza daripada kawasan asal yang belum diusik. Tidak jauh dari situ juga kelihatan sebuah lagi kawasan yang sudah dibersihkan.

Adnan berkata ketika kerja-kerja menebang dan membina teres di kawasan yang dilakukan ia tidak disedari penduduk, memandangkan kedudukannya agak jauh.

Seorang lagi penduduk, Rosli Mohd Noor, 49 berkata, penerokaan tanah di atas puncak bukit tersebut menjejaskan punca air tandak yang disalur kepada penduduk di Kampung Peralla.

“Saya menandak air di lereng bukit di bawah daripada kawasan yang ditanam getah milik pemimpin politik terbabit. Air dari puncak bukit tersebut disalur kepada 30 rumah penduduk di sini.

“Namun tempat ditandak air di alur Sungai Nawir sekarang semakin surut sehingga di bawah paras muka paip yang dipasang. Dua tahun lepas air di paras pinggang dan sekarang hanya beberapa inci sahaja,” ujarnya.

Menurutnya sekarang paip yang ditandak langsung tidak keluarkan air menyebabkan penduduk terpaksa mencari sumber lain.

Seorang lagi penduduk Mohd Ropiah Ismail, 70 berkata tidak sepatutnya kawasan berhampiran tandahan air bagi kegunaan penduduk diteroka dengan tanaman getah.

Beliau mendakwa tanah tersebut milik kerajaan sebelum ini pernah dimiliki penduduk, namun tidak diusahakan.

Bagaimanapun kata beliau tiba-tiba pemimpin politik datang membersihkan hutan di situ dan membuat teres sebelum menanam getah.

“Kalau sebelum ini kita sering mendengar penduduk miskin yang meneroka tanah kerajaan, sebaliknya di Peralla pemimpin politik juga melakukan perkara serupa,” ujarnya.

Satu sumber lain pula memberitahu ekoran isu penerokaan tanah tersebut digegerkan, menyebabkan pemimpin terbabit difahamkan mahu menjual kebun terbabit. – HARAKAHDAILY 24/3/2016

Share on Myspace