Turki rancang bangun 320 unit rumah di Gaza

HARAKAHDAILY | .

BADAN Penyelarasan dan Kerjasama Turki (TIKA), pada hari Rabu minggu ini mengumumkan rancangan untuk membina 320 unit rumah untuk warga Palestin yang terkena serangan tentera Israel pada tahun 2014 di Jalur Gaza, lapor World Bulletin, semalam.

"Projek bernilai 13 juta USD tersebut akan merangkumi pembangunan 20 bangunan," kata Bulent Korkmaz, perwakilan TIKA.

Projek ini, jelas Korkmaz, hanya satu daripada 400 projek TIKA yang sedang dilakukan di wilayah Palestin.

"Kami akan meneruskan bantuan kemanusiaan untuk Gaza dengan segala cara yang mungkin," kata Korkmaz.

Menteri Pekerjaan Umum Palestin Mufeed al-Hasanah, mengucapkan terima kasih kepada Turki atas bantuan kepada Palestin.

"Pembangunan unit rumah datang dalam konteks sokongan yang berterusan dari Turki untuk Jalur Gaza, dan merupakan bentuk penolakan Turki terhadap sekatan Israel di Gaza," kata Hasanah.

Pada pertengahan tahun 2014, Israel melancarkan serangan ketenteraan selama 51 hari terhadap Jalur Gaza yang dikuasai oleh Hamas. Lebih daripada 2,300 warga Palestin terbunuh, dan sekurang-kurangnya 11,000 orang tercedera.

Ditubuhkan pada tahun 1992, badan bantuan TIKA yang dikendalikan oleh Kerajaan Turki, bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar kerjasama pembangunan Turki di luar negeri. [Islampos]

Share on Myspace