Saya lama dalam kerajaan, tahu pemikiran kerajaan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang baru menjalinkan kerjasama politik dengan PAS  tempoh hari yakin masa depan kedua-dua parti itu cukup cerah, akhirnya akan menguntungkan rakyat negara ini.

Presidennya Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil berkata, dengan kekuatan PAS yang sudah berusia 65 tahun serta mempunyai ahli yang begitu ramai ditambah pula parti Ikatan yang terdiri daripada ahli berbagai bangsa ia sekali gus saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

"PAS parti besar, PAS parti lama yang ada ahli 1 juta berdaftar dan mungkin ada 3 hingga 4 juta penyokong. Kami parti baru dan berbilang kaum dengan sendirinya kami terima PAS ia satu fakta bahawa PAS bukan parti ekstrem," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang mempunyai pengalaman 30 tahun di dalam pentadbiran kerajaan, percaya pendekatan politik matang dan sejahtera PAS akan berjaya menyelesaikan masalah rakyat.

Tambahnya, melalui politik matang ini mereka akan cuba menyampaikan cadangan secara berhemah kepada kerajaan bagaimana untuk menyelesaikan masalah rakyat.

"Kalau ada cadangan yang baik kita sampaikan dengan berhemah sama ada pujuk rayu. Kerajaan akan dengar, yang mana perlu diperbaiki mereka akan baiki. Saya sudah lama dengan kerajaan jadi ahli pentadbiran, jadi sedikit sebanyak saya tahu pemikiran kerajaan.

"Saya yakin, kita kena serius jangan pergi depan mereka dengan menjerit-jerit. Selalunya inilah yang dibuat pembangkang . Kita tidak mahu macam itu," katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur PAS sudah sedar bahawa mereka perlu mengubah pendekatan sebelum ini melalui politik matang untuk menyelesaikan masalah rakyat secepat mungkin.

"Rakyat terlalu lama sangat menunggu, mereka sudah muak dengan politik hari ini yang tidak ada kerja lain berkelahi sepanjang masa. Mereka menunggu apa kita akan buat untuk mensejahterakan mereka kelak," ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/3/2016

Share on Myspace