Hari-hari terakhir Dr Zeti Akhtar di BNM

SYAHIR SULAIMAN | .

KETIBAAN Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz ke majlis sidang media Laporan Tahunan 2015 dan Laporan Kestabilan Kewangan 2015 oleh Bank Negara Malaysia, disambut dengan limpahan lampu kamera para wartawan.
 
Ini merupakan penampilan terakhir untuk Dr Zeti membentangkan dua laporan penting berkaitan ekonomi dan kewangan negara, sebelum kontrak beliau tamat pada penghujung April ini, mengakhiri perkhidmatan selama 35 tahun di Bank Negara dan 16 tahun sebagai Gabenor.
 
Sepanjang sesi soal-jawab, beliau dengan penuh cermat merungkai persoalan berkenaan Ringgit, 1MDB dan polisi kewangan negara, manakala teka-teki berkenaan pengganti beliau dijawab dengan menggariskan kriteria yang perlu ada pada seorang Gabenor.
 
Pertumbuhan Ekonomi
 
Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 5.0% pada tahun 2015, meskipun dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar, disokong oleh pertumbuhan permintaan dalam negeri yang berterusan.

Ia dijana oleh perbelanjaan isi rumah yang terus berkembang walaupun pada kadar yang sederhana, akibat peningkatan kos sara hidup berikutan pelaksanaan GST, penghapusan subsidi, dan penyusutan nilai Ringgit.
 
Landskap ekonomi dan kewangan antarabangsa yang mencabar dijangka menjadi faktor utama yang akan mempengaruhi prospek ekonomi Malaysia pada tahun 2016, dan ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.0 - 4.5% pada tahun 2016.
 
Inflasi & Sara Hidup
 
Meskipun paras inflasi adalah lebih rendah pada tahun 2015 (CPI 2015: 2.1%, CPI 2016: 3.2%), kenaikan harga adalah lebih meluas disebabkan oleh pelaksanaan GST, penyusutan nilai ringgit dan kenaikan harga barangan makanan segar.
 
Kestabilan paras inflasi di bawah 3.0% mencerminkan keadaan permintaan dalam negeri yang lebih sederhana, ketiadaan kenaikan upah yang berlebihan, dan inflasi yang sederhana di peringkat global.
 
Peluang Pekerjaan
 
Keadaan pasaran pekerja secara keseluruhan kekal stabil pada tahun 2015 apabila permintaan untuk pekerja terus disokong oleh pertumbuhan yang berterusan di seluruh sektor ekonomi. Meskipun kadar penyertaan tenaga kerja stabil pada 67.6% (2014: 67.5%), kadar pengangguran meningkat kepada 3.2% (2014: 2.9%), apabila sentimen perniagaan yang lebih berhati-hati menyebabkan prospek guna tenaga yang lebih sederhana menjelang separuh kedua tahun 2015.
 
Hutang Isi Rumah
 
Nisbah paras hutang isi rumah kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) kekal tinggi pada 89.1% dalam keadaan pertumbuhan KDNK yang lebih sederhana pada tahun 2015. Walau bagaimanapun, keupayaan isi rumah untuk membayar balik hutang pada amnya kekal kukuh, disokong oleh prospek guna tenaga dalam negeri dan pendapatan yang secara amnya stabil.
 
Ketidakstabilan Ringgit
 
Bagi keseluruhan tahun 2015, ringgit menyusut nilai sebanyak 19% berbanding dengan Dolar Amerika. Trend penyusutan nilai ringgit ini disebabkan oleh beberapa faktor, khususnya aliran keluar pelaburan yang besar daripada kebanyakan ekonomi sedang pesat membangun, termasuk Malaysia.
 
Kebimbangan terhadap kesan harga minyak mentah dan komoditi yang lebih rendah terhadap ekonomi dalam negeri serta sentimen negatif dalam negeri juga mendorong penyusutan nilai Ringgit yang lebih besar berbanding dengan mata wang lain.
 
Ditanya sama ada ringgit akan terus mengukuh ke paras RM3.80 – RM3.90 pada tahun ini, Zeti menegaskan bahawa Bank Negara tidak mengunjurkan sebarang paras bagi kadar tukaran berkenaan. Zeti turut menyifatkan pengukuhan semasa ringgit disebabkan oleh pengaliran masuk dana asing dan perkembangan itu akan dipantau rapat oleh pihak BNM.
 
Spekulasi Pengganti
 
Berkenaan spekulasi bakal penggantinya, Dr Zeti menyebut “tidak semua orang boleh dilantik ke jawatan ini”. Beliau turut menggariskan penggantinya perlu memiliki kepakaran‎ serta berpengetahuan luas, dan yang paling penting, penggantinya perlu memiliki integriti dan dihormati oleh rakyat dan pasaran.
 
Kompetensi dan integriti, legasi yang ditinggalkan Dr Zeti. – HARAKAHDAILY 25/3/2016

Share on Myspace