Komen HartaGuam tentang banglo KM Pulau Pinang

SALKUKHAIRI ABD SUKOR | .

DALAM sesuatu perjanjian jual beli hartanah, harga jualan adalah tertakluk kepada persetujuan bersama antara penjual dan pembeli.

Walau bagaimanapun dari segi kelulusan pinjaman oleh bank terhadap pembelian hartanah tersebut,  bank akan merujuk kepada penilai untuk mendapatkan nilaian terkini hartanah berkenaan sebelum meluluskan pinjaman.

Jadi walaupun harga jual beli yang dipersetujui antara penjual dan pembeli adalah rendah daripada harga pasaran, pinjaman akan diluluskan berdasarkan kepada peratusan tertentu daripada harga pasaran semasa dan juga harga jual beli yang tertera dalam perjanjian jual beli (mana satu yang lebih rendah).

Bukan itu sahaja, pembeli juga tetap akan dikenakan bayaran duti setem pindah milik mengikut harga pasaran semasa hartanah tersebut  walaupun harga jual beli yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli adalah lebih rendah daripada harga pasaran.

Maka dalam kes Lim Guan Eng ini, HartaGuam berpandangan, walaupun harga belian rumah banglo tersebut dilaporkan dibeli dibawah harga pasaran, beliau tetap akan tertakluk kepada harga pasaran semasa hartanah tersebut dan akan dikenakan bayaran duti stem pindahmilik mengikut harga pasaran semasa hartanah tersebut.

Adapun dari segi sama ada wujudnya elemen conflict of interest atau unsur rasuah dalam urusan pembelian hartanah tersebut, HartaGuam menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk  membuat siasatan terperinci memandangkan laporan berkenaannya telahpun dibuat sebelum ini. – HARAKAHDAILY 25/3/2016

Penulis ialah Presiden, Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

Share on Myspace