Peneroka hutang RM200,000 tanam semula fasa kedua

HARAKAHDAILY | .

Apa yang hendak dibanggakan jika kita mati dengan hutang ratus ribu ringgit? Inilah hakikat yang perlu dilalui oleh semua peneroka Felda seluruh negara bila mereka memasuki Fasa tanam semula kali kedua.

Felda yang sudah seusia dengan umur kemerdekaan negara kini bakal dirosakkan oleh sistem baharu dan bakal menjadikan ibarat kata 'harimau mati meninggalkan belang, peneroka mati meninggalkan hutang'.

Setelah Felda melalui zaman kegemilangan sejak penubuhan 1956, yang dikenali Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) dengan kemasukan peneroka pertama di rancangan Lurah Bilut 1959, Felda bergerak maju sehinggan 317 tanah rancangan dibuka seluruh negara dan yang terakhir Felda Sahabat 2 pada tahun 1990.

Dengan bermodalkan pinjaman RM42 juta dari Bank Dunia pada tahun 1968, ianya mampu mengubah nasib rakyat yang terpilih untuk menyertai skim gagasan menginjak rakyat keluar dari kemiskinan yang diasaskan Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua.

Seramai 112,635 peneroka Felda berjaya dibentuk menjadi peneroka Felda setelah melalui perit jerih kehidupan di Tanah Rancangan Felda.

Kegemilangan bermula apabila Koperasi Permodalan Felda berjaya ditubuhkan pada tahun 1980 dan dipacu dengan komitmen mereka yang ikhlas sehinggakan mereka berjaya meletakkan KPF menjadi koperasi terbaik di Malaysia dan disenaraikan tangga ke-20 di antara koperasi terbailk dunia.

Namun kini setelah FGV mengambil alih kedudukan KPF dalam Felda Holdings sejak 2012, tranformasi yang dibawa oleh anak kepada pengasas Felda, Datuk Seri Najib telah mengubah hampir keseluruhan lanskap Felda.

Penyenaraian FGV ke BSKL yang menjadi tugasan utama Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad telah menambahkan lagi kejutan peneroka Felda apabila perkara yang dicanang boleh membawa perubahan pendapatan peneroka Felda bertaraf penduduk negara maju berlaku sebaliknya.

Saham FGV yang diniagakan dengan nilai IPO RM4.45 seunit menjunam dengan teruk sehingga kini. Dengan harga semasa tidak melepasi RM1.90 pada suku pertama tahun ini, menambahkan lagi keluh resah peneroka Felda.

Durian runtuh RM15,000 yang diberi kepada setiap peneroka Felda sebelum PRU13 mampu membeli undi hampir 2 juta warga Felda untuk terus memastikan penguasaan 54 parlimen dimenangi Barisan Nasional.

Penyingkiran KPF dari menguasai FHB dengan 51 peratus pegangang saham yang sebelum ini menjadi kebanggaan peneroka Felda telah membuka mata peneroka Felda seluruh negara. Dakwaan yang dijaja oleh PAS ke seluruh pelosok Felda beberapa tahun lalu kini menjadi kenyataan yang benar.

Lebih parah lagi, tanah seluas 360,000 hektar yang selama ini menjadi pendapatan kumpulan, telah diserahkan secara pajakan kepada FGV.  Pendapatan yang dijana hasil dari tanah ini mencecah RM1.8 bilion setahun, kini sudah dikongsi dengan pemegang saham FGV seluruh dunia dan kehilangan besar kepada pendapatan Felda.

Hasilnya, peneroka Felda tidak lagi disalurkan peruntukan RM60 juta setahun seperti sebelum ini. Adakah peneroka Felda sedar perkara ini? Apakah menteri-menteri berbangsa Melayu tahu?

Kini peneroka Felda berdepan dengan penjajahan baharu zaman Datuk Seri Najib Tun Razak. Tanam semula kedua akan merekodkan hutang pada tahun kelapan selepas perjanjian baharu ini ialah RM169,600 setiap peneroka Felda.

Jika kita ambil purata hutang lama RM30,000 yang masih berbaki dan dicampur dengan hutang ini, maka pastinya peneroka bakal berhutang lebih RM200,000 pada ketika berusia 80 tahun.

Apakah mereka mampu melunaskan hutang ratus ribu ini sebelum mengadap Allah? Kejayaan apakah melakar peneroka Felda mati dengan hutang sebanyak itu? Apakah ada mekanisma mengubah aturan penjajahan ini? Adakah nilai 10 ekar tanah peneroka lebih tinggi dari hutang ini? Bersediakah generasi anak-anak peneroka Felda mewarisi hutang ini?

Semua persoalan ini mesti dijawab oleh seluruh Ahli-ahli Yang Berhormat Barisan Nasional.

NARAZA MUDA
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS
25 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 25/3/2016

Share on Myspace